Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
PUTRAJAYA – Sebanyak enam kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,291 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada enam kes tersebut, lima kes adalah penularan tempatan manakala satu kes import.
“Lima kes penularan tempatan membabitkan warga Malaysia di Kedah termasuk tiga daripada Kluster Tawar menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini sebanyak 73 kes.
“Selain itu, satu kes ialah jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan satu lagi kes saringan bergejala, masing-masing di Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, satu kes import pula membabitkan warga asing yang mendapat jangkitan di Singapura.
Noor Hisham menambah, tujuh kes telah pulih Covid-19 hari ini, sembilan kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam kes memerlukan bantuan pernafasan dan tiada pertambahan kes kematian. -K! ONLINE