fbpx

Dakwaan lelaki jual organ tidak benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh ALICIA JOHNY KUEH

KUCHING – Siasatan ke atas seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan organ manusia baru-baru ini telah didapati tidak benar.

Walau bagaimanapun, suspek yang berusia 48 tahun itu telah ditahan semula untuk kes berlainan iaitu kes pecah amanah pada tahun 2013.

Mengulas lanjut mengenai kes pertama, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata hasil siasatan terperinci yang dijalankan selama 12 hari bermula 14 Ogos mendapati bahawa dakwaan portal berita The Sun mengenai lelaki ini terlibat dalam kegiatan membeli dan menjual organ manusia adalah tidak benar.

Katanya, tidak ada sebarang keterangan yang ditemui menunjukkan bahawa suspek terlibat dalam kegiatan berkenaan.

“Siasatan juga mendapati bahawa suspek telah memberi dakwaan-dakwaan yang palsu semasa temuduganya dengan wartawan The Sun.

“Pihak polis juga telah menghubungi wartawan The Sun dan telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Kertas siasatan kes ini, ujarnya, telah diedarkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk keputusan.

Datuk Aidi kemudiannya memberitahu bahawa suspek telah ditahan semula oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuching sekitar jam 11 pagi tadi kerana disyaki terlibat dalam satu kes pecah amanah pada tahun 2013.

“Lelaki tersebut telah bekerja di Jabatan Insolvensi Sarawak pada tahun 2013 dan disyaki telah melakukan penipuan dalam mengeluarkan baucar pembayaran ke atas beberapa orang yang tidak ada kaitan dengan Jabatan Insolvensi Sarawak melibatkan kerugian sebanyak RM249,101.25.

“Kertas siasatan kes pecah amanah ini telah diedarkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada hari Isnin lalu (24 Ogos) dan keputusan telah diterima untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Pecah Amanah Jenayah oleh Penjawat Awam),” tambahnya.

Suspek akan dituduh esok (27 Ogos) di Mahkamah Sesyen Kuching dan jika sabit kesalahan, suspek akan berdepan dengan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, sebat, dan boleh dikenakan denda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI