KUALA LUMPUR – Wisma Putra sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia untuk selamanya.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia sudah membuat pendirian sebelum ini mengenai Sabah dan tidak timbul persoalan lagi mengenainya.
“Sabah selamanya akan menjadi sebahagian daripada Malaysia,” katanya menerusi ciapan di akaun laman sosial Twitter miliknya semalam.
Menerusi ciapan tersebut, Hishammuddin turut berkongsi video ucapannya di Parlimen pada 5 Ogos lalu bahawa Malaysia membidas kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Luar Negara Filipina, Teodoro Locsin Jr mengenai ciapannya yang mengatakan ‘Sabah is not in Malaysia’ (Sabah bukan di Malaysia).
Menerusi video ucapannya itu, Hishammuddin berkata, apa yang beliau katakan amat jelas bahawa Malaysia mengutuk ciapan berkenaan kerana ia dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan mendakwa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.
“Saya mahu nyatakan di Dewan Rakyat ini, kita tidak mengiktiraf untuk memenuhi mana-mana pihak asing di Sabah. Pada masa sama, Sabah milik Malaysia dan akan tetap sebahagian daripada Malaysia buat selama-lamanya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri Sabah menggesa Kementerian Luar perlu bersikap tegas berhubung isu ancaman terhadap kedaulatan Sabah oleh Filipina.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dilaporkan berkata, rakyat Sabah dijanjikan keselamatan dan perlindungan semasa penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Beliau mahu Wisma Putra mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara yang disifatkan sebagai ancaman terhadap kedaulatan Sabah serta provokasi yang tidak sepatutnya dari Filipina itu.
Hal tersebut dinyatakan berikutan keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina yang membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara jiran itu baru-baru ini.- K! ONLINE.