Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
SEPANG – Setelah menempuh perjalanan sejauh 15,837 kilometer (km) dari Amerika Syarikat, tren baharu Bombardier Innovia Metro 300 milik Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini melalui pesawat kargo awam terbesar dunia, Antonov An124-100.
Tren berkenaan yang merupakan unit kelima daripada kumpulan 27 unit tren baru dibeli di bawah projek KLAV (Kuala Lumpur Additional Vehicle).
Detik bersejarah ini turut disaksikan oleh Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang diiringi oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah.
Hadir sama wakil Bombardier Hartasuma Consortium (BHC), Tan Sri Ravindran Menon.
Urusan penghantaran tren berkenaan bermula dengan pesawat ini berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Plattsburgh, Amerika Syarikat pada 22 Ogos dan melakukan persinggahan di beberapa negara sebelum tiba di KLIA hari ini.
Di bawah projek perolehan dengan BHC ini, Prasarana membeli 27 unit tren baharu Bombardier Innovia Metro 300, yang kemudiannya dipasang di fasiliti pembuatan Hartasuma di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.
Muhammad Nizam berkata, Prasarana gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh BHC dalam memastikan projek perbekalan tren baharu ini mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Rakyat khususnya pengguna rel bandar di Lembah Klang amat ternanti-nanti ketibaan tren baharu ini.
“Ia merupakan pelaburan oleh kerajaan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat dan kemudahan pengangkutan awam bertaraf dunia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nizam memberitahu, dari KLIA, tren berkenaan dibawa ke fasiliti pembuatan BHC di Pulau Indah bagi menjalani pemasangan dalaman.
“Tren ini seterusnya diperiksa secara rapi sebelum dihantar ke Depoh LRT Kelana Jaya di Subang untuk urusan pengujian dan pengesahan teknikal,” katanya.
Sebelum ini, Prasarana sudah membeli 14 tren Bombardier Innovia 300 di bawah projek fasa 1KLAV.
Dengan pembelian tambahan 27 lagi tren empat gerabak, ia akan dapat memastikan lebih keselesaan kepada pengguna di samping dapat mengurangkan tempoh menunggu ketika waktu puncak. -K! ONLINE