fbpx

Tiada elemen hukuman dalam RUU Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan tiada peruntukan berkaitan hukuman dan penalti sekiranya wujud elemen ketidakpatuhan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 yang dibentangkan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jaminan tersebut dilakukan selaras hasrat kerajaan supaya RUU berkenaan tidak bersifat menghukum sehingga membebankan mana-mana pihak.

“Kesan Covid-19 dirasai oleh semua pihak. Apabila satu pihak terkesan, bermakna seluruh rantaian ekonomi akan terkesan, justeru RUU ini memperuntukkan wadah pengantara kepada pihak yang mempunyai pertikaian untuk selesaikan isu secara baik, tanpa babitkan proses perbicaraan undang-undang di mahkamah.

“Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk memastikan kedua-dua pihak diberikan peluang sama rata bagi menyelesaikan pertikaian secara baik, perjanjian penyelesaian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak hendaklah ditandatangani dan perkara ini dianggap sebagai muktamad dan mengikat kedua-dua pihak,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Takiyuddin, RUU berkenaan bersifat menyokong pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi menerusi rangkaian pakej rangsangan, memberikan suatu pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian atau pematuhan perundangan tertentu bagi tempoh yang ditetapkan demi kelangsungan hidup rakyat.

Beliau berkata, persoalan sama ada RUU itu bersifat ‘lebih baik ada daripada tiada’ atau ‘terlewat’ adalah tidak berbangkit kerana isu yang dihadapi rentetan wabak Covid-19 ditangani oleh kerajaan menerusi pakej rangsangan ekonomi.

Malah jelas Takiyuddin, penyelesaian menggunakan perundangan sedia ada, termasuk melalui pindaan kepada perundangan subsidiari seperti perintah dan peraturan atau diselesaikan secara pentadbiran oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan juga dilaksanakan.

“Sehingga kini sebanyak 53 peraturan dan perintah disediakan atau dipinda bagi menangani kesan akibat COVID-19,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI