KUALA LUMPUR – Dakwaan yang mengatakan kerajaan melakukan diskriminasi berdasarkan warna kulit atau kaum dalam menentukan status kewarganegaraan setiap individu di negara ini adalah tidak benar.
Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, permohonan kewarganegaraan kebiasaannya tidak dapat diproses kerana tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kerajaan tidak pernah melakukan diskriminasi kaum berdasarkan kulit dan sebab saya nyatakan sebelum ini jawapan yang lepas jika ada proses seperti pendaftaran perkahwinan sah, dokumen sah dan mengambil anak angkat sama ada di mahkamah telah dipersetujui.
“Ada syarat tertentu yang telah disyaratkan di bawah prosidur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan bahawa jika pemohon sah dan boleh lakukan pendaftaran,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) dalam soalan tambahannya tentang kemungkinan kerakyatan segelintir individu ditarik balik disebabkan oleh warna kulit dengan keluarga angkat mereka.