SETIU – Kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk memanfaatkan tanah-tanah terbiar di negeri ini untuk diusahakan dengan projek pertanian secara komersial.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Hilmi Harun berkata, setakat ini kerajaan negeri telah mengenal pasti kira-kira 8,000 hektar tanah terbiar di seluruh negeri ini.
“Jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mengenal pasti tanah-tanah berkenaan yang antaranya lainnya terbiar kerana pemiliknya sudah lama meninggal dunia dan tidak dituntut.
“Status tanah-tanah terbiar itu sedang diperiksa dan jika boleh (dari segi undang-undang) akan diguna pakai untuk aktiviti pertanian seperti penanaman tembikai dan labu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak antara 59 pengusaha tembikai dan labu dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu di Gong Tengah, Kampung Beris Tokku dekat sini.
Dalam perkembangan sama, Hilmi berkata, sebanyak 856 metrik tan tembikai dan 46 metrik tan labu yang diusahakan peladang Gong Tengah akan dipasarkan FAMA Terengganu melibatkan urus niaga bernilai RM717,000.
Beliau berkata, begitu pun, pengeluaran tembikai dan labu di seluruh negeri ini masih belum memenuhi walaupun permintaan setempat hingga terpaksa diimport dari negeri-negeri lain dan luar negara. – K! ONLINE