SETIAP wanita yang sudah berkahwin lazimnya gemar berkongsi detik bahagia mereka dengan orang lain. Perkara sama dilalui pengacara dan pelakon, Ain Edruce.
Baru-baru ini, pemilik nama Nurulain Edruce, 28, berkongsi sekeping gambar yang memaparkan suaminya, Amirul Hafiz Mustaffa mencium pipinya.
Namun, gambar romantis mereka telah disalah tafsir oleh netizen yang berpendapat momen sebegitu tidak sesuai menjadi tatapan umum.
Ditemui semasa pelancaran program Immortal Songs baru-baru ini, pelakon Kekasih Paksa Rela itu berkongsi luahannya kepada HibGlam.
KOSMO!: Boleh Ain kongsikan sedikit mengenai isu gambar cium pipi yang dimuat naik yang hangat diperkatakan dalam media sosial baru-baru ini?
AIN: Saya ada muat naik sekeping gambar romantik bersama suami. Gambar itu menunjukkan Amirul mencium pipi saya sempena ulang tahun kelahiran saya ke-29 pada awal bulan ini. Saya hanya menulis kapsyen ‘teman lelaki saya mengagumkan’.
Niat saya hanya ingin berkongsi detik istimewa dengan suami tetapi tak sangka pula ada netizen yang mengambil serius gambar tersebut.
Boleh anda ceritakan tentang komen-komen netizen pada gambar tersebut?
Pada mulanya ramai yang memuji dan mengucapkan selamat hari jadi kepada saya. Kemudian, terselit dua tiga komen yang berbaur kecaman. Ada yang mengatakan gambar itu patut disimpan untuk tatapan sendiri dan tidak perlu dipaparkan kepada umum. Malah, ada yang tidak tahu saya sudah berkahwin (ketawa). Ada juga yang mempersoalkan kenapa saya tidak menjaga batas dan mahu menunjuk-nunjuk bahagia.
Jadi, apa tindakan anda? Adakah anda membalas semula semua kecaman tersebut?
Komen-komen itu membuatkan saya berasa sangat tertekan.
Selepas menerima semua komen negatif itu, saya sampai terfikir yang Twitter sekarang sudah jadi paltform toksik. Bagaimanapun, saya tidak boleh nak marahkan setiap orang yang komen begitu. Saya anggap itu perkara biasa kerana tidak semua orang suka dengan cara kita.
Saya akui memang sedih dengan apa yang berlaku. Bagi menenangkan diri, saya ambil pendekatan tidak membaca komen mereka dan cara itu sangat berkesan.
Okey, jadi boleh kongsikan sedikit apakah perasaan setelah hampir sembilan bulan bergelar isteri?
Saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang sangat memahami. Dia tidak pernah memaksa saya melakukan kerja seorang isteri seperti memasak atau mengemas rumah. Saya anggap itu rezeki saya memiliki suami sepertinya.
Biarpun dia bukan seorang lelaki yang romantik, tetapi sifat tanggungjawabnya terhadap saya membuatkan perjalanan rumah tangga sepanjang sembilan bulan ini cukup membahagiakan kami.
Kepada yang belum kahwin, cepat-cepatlah berumah tangga, seronok tau (ketawa).
Bagaimana pula dengan karier anda?
Untuk pengacaraan, saya baru selesai rakaman program realiti Immortal Songs. Saya juga sudah habis dengan pengambaran sebuah rancangan untuk Awesome TV iaitu Perang Dingin dan sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK).
Sekarang, saya kurangkan sedikit mengambil tawaran berlakon kerana mahu fokus terhadap tawaran pengacaraan.