fbpx

Polis Negeri Sembilan lupus dadah RM9.2j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD MAT YUSOP (kiri) memeriksa barang kes terdiri daripada pelbagai jenis dadah termasuk peralatan memproses dadah yang akan dilupuskan selepas sidang akhbar majlis serahan 17 kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Civic 1.8 kepada semua Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) di Negeri Sembilan dekat Seremban, hari ini.

Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI

SEREMBAN- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini melupuskan 239 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM9.2 juta yang dirampas di negeri itu dari tahun 2006 hingga 2019.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kesemua barang kes itu termasuk peralatan memproses dadah sudah mendapat arahan untuk dilupuskan selepas semua perbicaraan selesai.

“Barang kes ini melibatkan sebanyak 1,913 kertas siasatan yang dibuka berkaitan dadah dari 2006 hingga 2019.

“Antara dadah yang dilupuskan adalah heroin, ganja, cecair ganja, syabu, pil yaba, methadone, daun ketum dan 257 peralatan memproses dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis serahan 17 kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Civic 1.8 kepada semua Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) di Negeri Sembilan.

Tambahnya, semua barang kes itu akan dibawa ke Pusat Kualiti Alam di Sendayan di sini untuk dilupuskan.

Sementara itu, Mohamad berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan merekodkan peningkatan tangkapan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

“Ini meliputi tangkapan pelbagai kesalahan dadah berbahaya sebanyak 3,746 iaitu pengedar dadah (557), pemilikan dadah (1,107) dan penagih dadah (2,082), manakala jumlah anggaran nilai rampasan dadah sebanyak RM8.6 juta dan nilai sitaan aset berjumlah RM3.3 Juta.

“Kami amat serius dalam misi membenteras dadah habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan pengedar-pengedar dadah selain melumpuhkan ekonomi mereka dengan menyita aset yang dimiliki melalui aktiviti pengedaran dadah,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI