ALOR SETAR – Dua penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Pedu dalam daerah Padang Terap dekat sini pada tahun lalu.
Tertuduh, Prajun Ipian, 58, dan anak saudaranya, Lai Oon Ai Chuan, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Prajun dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 manakala Lai Oon dikenakan denda RM5,000.
Murtazadi juga memerintahkan mereka dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menceroboh kompartmen 51, Hutan Simpan Pedu dengan membawa tiga bilah parang dan satu unit gergaji tangan tanpa kebenaran sah kira-kira pukul 10.30 pagi, 4 Oktober lalu.
Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 81(1)(g) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mason Jaro Lenya Barayan ketika prosiding memohon hukuman setimpal memandangkan Prajun pernah dikompaun RM3,000 atas kesalahan berkaitan.
Prajun pada tahun lalu dikompaun atas kesalahan membersihkan satu kawasan di Hutan Simpan Bukit Perangin di daerah Padang Terap.-K! ONLINE
-habis