fbpx

Polis cedera di lengan, rusuk kiri ditikam penagih dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN lengan dan rusuk kiri seorang anggota polis yang cedera ekoran ditikam ketika bergelut dengan salah seorang penagih dadah dalam kejadian di Taman Puri Warisan, Inanam. foto IHSAN POLIS

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Seorang anggota polis cedera pada bahagian lengan dan rusuk kiri ekoran ditikam ketika bergelut dengan salah seorang penagih dadah dalam kejadian di Taman Puri Warisan, Inanam semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 1.35 petang itu, dua penagih dadah nekad menyerang termasuk menikam seorang anggota polis bagi meloloskan diri.

Bagaimanapun, dua lelaki tempatan berusia 33 dan 39 tahun itu berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihaknya menghantar sepasukan anggota dan pegawai polis bagi menjalankan operasi di kawasan terbabit.

Beliau berkata, pasukan polis bertugas terserempak dengan dua lelaki yang sedang menghisap dadah di bawah tangga di blok bangunan perumahan dimaklumkan.

“Kedua-dua suspek membuang dua paket dadah jenis syabu sebelum melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis

“Namun salah seorang suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau dan terus menyerang anggota polis.

“Semasa pergelutan berlaku, suspek telah menikam anggota kita manakala seorang lagi suspek turut bertindak merempuh dan menumbuk salah seorang anggota polis yang cuba menahan mereka.

“Tetapi dengan kecekapan dimiliki anggota, kedua-dua suspek akhirnya berjaya ditahan dan pisau berukuran 32 sentimeter yang digunakan juga dirampas.

“Turut dirampas sebilah gunting dan dua paket syabu seberat 0.20 gram yang bernilai RM20 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut beliau, kes turut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Sementara itu, Habibi memaklumkan anggota polis yang cedera sudah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan dan sudah dibenarkan pulang. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI