fbpx

Nik Akif yang berjiwa besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

 

SOPI SAMAILE,PENGARANG BERITA KOSMO.

 

SEMINGGU lalu, nama Nik Akif Syahiran Nik Mat menjadi perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air yang mengenang bagaimana nasib anak muda dari Kuala Krai, Kelantan itu pada masa depan.

Kepada mereka yang tidak mengetahui siapa Nik Akif, dia adalah seorang pemain bola sepak berbakat, seperti juga Luqman Hakim Shamsudin yang telah berhijrah ke kelab Belgium, KV Kortrijk.

Disebabkan bakat hebat, Nik Akif berjaya dipilih menyertai skuad kebangsaan seawal umur 19 tahun (B-19) sebelum khidmatnya ditagih dalam pasukan Malaysia B-23 dan seterusnya skuad Harimau Malaya.

Kini usianya mencecah 21 tahun dan masih panjang perjalanan Nik Akif untuk menjadi pemain hebat buat negara.

Bagaimanapun, Nik Akif tidak begitu bernasib baik seperti Luqman yang mendapat tawaran lumayan daripada kelab luar negara, namun penulis percaya pemain muda The Red Warriors (TRW) itu tidak pernah mengeluh akan nasibnya.

Sekalipun bermain untuk pasukan yang bermasalah dari segi kewangan bahkan sedia dijual dengan harga RM1 juta jika ada pasukan lain menebus kontraknya, Nik Akif kekal tenang dan tidak melenting.

Malah, ada juga cadangan supaya Nik Akif dijual pada harga RM4.6 juta bagi melangsaikan hutang piutang Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), dalam erti kata lain dijadikan kambing hitam bagi menyelamatkan badan induk itu.

Malangnya, bakat hebat Nik Akif langsung sudah tidak bererti, sebaliknya menyelamatkan KAFA lebih diutamakan, padahal persatuan itu terang-terang gagal menjaga kebajikan pemain sehinggakan berbulan gaji tidak berbayar.

Pun begitu, Nik Akif yang bercakap kepada pemberita sebaik sahaja tamat perlawanan Liga Premier Sabtu lalu mengungkapkan, dia sebenarnya masih setia berbakti kepada pasukan Kelantan.

Disebabkan sayang Nik Akif kepada pasukan Kelantan, dia mengerahkan kudrat 100 peratus di atas padang untuk membantu skuad TRW meraih kemenangan 5-1 ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC).

Sebenarnya, bukan Nik Akif berseorangan, kesemua pemain lain turut sama memberikan seluruh tenaga dan bakat mereka untuk menjulang pasukan Kelantan.

Justeru, penulis kagum dengan jiwa besar Nik Akif dan pemain Kelantan keseluruhannya yang terus setia memastikan Kelantan menang meskipun bakti yang ditabur itu tidak dibalas setimpalnya.

“Secara jujur, saya masih sayangkan pasukan Kelantan. Jika boleh saya mahu terus berbakti,” luah Nik Akif yang turut tidak kisah dijual jika harga itu mampu menyelamatkan pasukan Kelantan pada saingan Liga Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI