Oleh FARAHWAHIDA AHMAD
SEGAMAT – Keseronokan tujuh remaja perempuan mandi-manda di kawasan air terjun Taka Pekoi, Bekok, Labis di sini hari ini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui mati lemas.
Dalam kejadian pada pukul 11.33 pagi itu, mangsa, Nabilah Aisyah Sallehodin, 22, ditemui orang awam yang berada di kawasan berkenaan.
Difahamkan, mangsa bersama rakannya tiba ke kawasan rekreasi itu pada pukul 8.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Mohd. Farizan Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum sebuah jentera bersama enam anggota ke lokasi kejadian.
“Dalam perjalanan, jentera bomba berselisih dengan kenderaan awam yang dalam perjalanan membawa mangsa ke Klinik Kesihatan di Labis sebelum bomba memberi bantuan awal.
“Pasukan perubatan cuba menyelamatkan mangsa sebelum mengesahkan remaja itu meninggal dunia,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Farizan berkata, mayat mangsa di bawa ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat dan punca kejadian masih belum diketahui.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih sedang dijalankan.-K! ONLINE