fbpx

Kerajaan Negeri Sembilan sedia pusat perlindungan anjing liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOK SEONG (empat, dari kanan) menyaksikan penyerahan sumbangan daripada pihak Matrix Concepts yang diwakili oleh Ho Kong Soon (lima, dari kanan) kepada Surevin Nair (tiga, dari kanan) di Laman Siti Payung, Mambau, Seremban, hari ini. UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN- Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan sebuah pusat perlindungan seluas 0.4 hektar bagi menempatkan anjing-anjing liar yang ditangkap di negeri ini.

Ia susulan banyak aduan dan rungutan daripada orang ramai mengenai masalah anjing liar di kawasan perumahan mereka selain isu tempat perlindungan sedia ada yang dikendalikan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak mampu lagi menempatkan anjing yang bilangannya semakin bertambah.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, pusat perlindungan tersebut kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh tiga minggu lagi.

“Pusat perlindungan ini antara langkah yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah anjing liar yang banyak diterima aduan daripada orang ramai.

“Lokasi sesuai telah berjaya dicari bagi mewujudkan pusat perlindungan ini namun lokasinya dirahsiakan bagi melindungi anjing-anjing ini agar tidak terancam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan dana sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar (FurryKids Safehaven) di Kampung Mawar, Mambau dekat sini, hari ini.

Menurut Kok Seong, pusat perlindungan anjing liar itu sepatutnya sudah lama dibina namun masalah lokasi menyebabkan ia mengambil sedikit masa.

“Ketika ini, anjing liar yang ditangkap ditempatkan di tempat perlindungan yang dikendalikan oleh NGO di pusat perlindungan haiwan terbiar di Mambau.

“Sebanyak 1,875 ekor anjing liar ditempatkan di pusat perlindungan ini namun ia tidak dapat menampung lagi jumlah anjing liar yang ditangkap di sekitar negeri ini,” katanya.

Sementara itu, sumbangan RM50,000 tersebut diberikan oleh pihak Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) yang bertujuan membantu persatuan tersebut dalam menguruskan pusat perlindungan haiwan terbiar kelolaan mereka.

Presiden FurryKids Safehaven, Surevin Nair berkata, dana yang diterima itu merupakan suntikan semangat kepada pihak persatuan yang sememangnya mempunyai masalah dana.

“Kami juga sedang membina sebuah lagi pusat perlindungan di Seremban bagi menempatkan anjing-anjing liar tersebut. Jika dilihat peruntukan dana yang diberi dapat membantu pusat ini untuk menjaga haiwan terbiar,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Ho Kong Soon pula berkata, sumbangan tersebut ini diiharap dapat membantu persatuan berkenaan dalam memelihara dan menyediakan pusat perlindungan anjing liar yang lebih baik.

“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat yang kami beri bagi memastikan haiwan terbiar ini tidak terancam dan dilindungi,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI