PETALING JAYA – Pelakon Keith Foo mengesahkan sudah bercerai dengan seorang model, Kim Raymond sejak Disember tahun lalu.
Menurut Keith atau nama lengkapnya, Foo Chuan Chin, 37, biarpun dia dan isteri berpisah secara rasmi pada Disember lalu, mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak dua tahun lepas.
“Saya dan bekas isteri telah berpisah sejak dua tahun lalu tetapi bercerai secara rasmi pada Disember lepas.
“Biarpun tidak lagi bergelar suami isteri, saya dan Kim masih mempunyai hubungan yang baik demi anak, Skylar Raymond Foo,” katanya.
Menurut Keith, mereka juga baik dan tiada masalah yang timbul biarpun sudah tidak lagi tinggal sebumbung.
Kata pelakon yang dikenali menerusi drama rantaian, Ariana Rose itu, mereka tetap berusaha untuk menjadi ibu dan bapa yang terbaik untuk Skylar.
“Anak tinggal dengan bekas isteri, tetapi setiap hari saya akan cuba mencari ruang untuk menghabiskan masa bersama Skylar,” kata di sini semalam.
Keith berkahwin dengan Kim pada 2015. Pasangan itu dikurniakan anak perempuan, Skylar pada 30 Mei 2017.