fbpx

K2

Kaligrafi ukiran kayu dari Jonker Walk ke istana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UKIRAN kaligrafi tulisan Cina dilakukan dengan penuh cermat dan teliti menggunakan pahat di atas sekeping papan.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

“Saya tidak sangka, baginda (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) tertarik dengan hasil ukiran kaligrafi saya sehingga menitahkan saya mengukir sebuah papan tanda istimewa berpaparan Rukun Negara dalam dua tulisan iaitu rumi dan Cina,” kata generasi ketiga pemilik kedai ukiran papan tanda Fwu Chang Carving Art Gallery, Ting Wee Chia, 55.

Jelasnya, baginda menemuinya tiga tahun lalu di kedai yang diusahakan di Jonker Walk, Bandar Hilir, Melaka itu. Baginda tertarik dengan sebuah ukiran yang diilhamkan daripada seni kaligrafi era pemerintahan Dinasti Qing dari tahun 1644 hingga 1911.

“Baginda sendiri yang memilih ukiran kaligrafi jenis Li Shu itu yang dipadankan dengan tulisan rumi agar hasil keseluruhan ukiran nampak harmoni.

“Ukiran Rukun Negara itu dilakukan di atas kayu sama dengan kaligrafi era Qing itu, ini bermaksud ia diukir di atas permukaan kayu daripada potongan pokok yang sangat besar berusia lebih 100 tahun,” katanya.

Jelasnya, jenis kayu yang digunakan untuk menyiapkan titah tersebut adalah kayu balak jenis mersawa yang didapatkan dari Pahang.

Mengulas lanjut, Wee Chia menerangkan, proses pembuatan itu memakan masa enam bulan kerana berdepan cabaran untuk mendapatkan bekalan mentah itu selain menitikberatkan aspek kesempurnaan dalam setiap ukiran.

Patriotisme

Menurut hantaran dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, lima rangkai ideologi negara pada satu papan tanda ukiran kayu itu kini baginda abadikan di Istana Alam Shah, Klang.

Dalam hantaran itu, Sultan Selangor berpandangan, kini pengisian dan penerapan nilai-nilai Rukun Negara yang digubal sejak 1970 itu tidak begitu diamalkan dan diterjemah dalam bentuk ikatan nasional yang kukuh.

Justeru, baginda mahu sambutan ke-50 penggubalan Rukun Negara tahun ini digunakan sebaiknya untuk menyemai kembali semangat patriotisme.

Wee Chia menunjukkan bingkai gambar yang memaparkan Sultan Sharafuddin bersama ukiran Rukun Negara di Istana Alam Shah, Klang Selangor yang dihasilkannya.

 

Anak sulung daripada empat beradik itu menerangkan, kraf warisan keluarga itu menerapkan empat elemen iaitu keindahan bahasa, seni kaligrafi antaranya jenis Kai Shu, Xing Shu, Zhuan Shu, Li Shu, Cao Shu dan Wei Bai serta seni bina tradisional Cina dan ukiran kayu.

Gabungan nilai estetika itulah yang menjadikan kraf tangan oleh Wee Chia sebuah karya eksklusif dan kelihatan lebih ‘hidup’, di samping teknik ukiran dengan kedalaman berbeza-beza bagi membentuk ilusi tiga dimensi.

“Setiap strok yang dihasilkan sarat dengan jiwa dan emosi. Seperti salah satu hasil ukiran di kedai ini yang membawa maksud umur panjang, sengaja saya ukir dan pahatkan bahagian dalam perkataan itu berliku-liku dan tidak rata.

“Ini membawa maksud, setiap perjalanan yang ditempuhi dalam kehidupan kita akan meninggalkan kesan sehinggalah ke akhir hayat,” katanya sambil menyentuh permukaan bahagian dalam perkataan yang diukirnya itu.

Tambahnya, setiap panjang papan pula membawa maksud yang berbeza-beza mengikut apa yang dikehendaki pelanggan termasuk untuk dimurahkan rezeki, kebahagiaan, keraian dan dikurniakan zuriat.

Selain membuat kaligrafi Cina, Wee Chia turut mengagumkan apabila mampu membuat ukiran kaligrafi jawi dengan meniru tulisan itu tertulis nama Wee Chia pada seni khat yang dihadiahkan kepadanya oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Tidak mengambil upah membuat ukiran kaligrafi jawi, Wee Chia sekadar mempamerkan kaligrafi jawi itu di galerinya.

Selain kehalusan seni kraf tangan yang dihasilkan, istimewanya ukiran-ukiran kaligrafi keluarga itu adalah terletak pada hiasan emas berketulenan 98 peratus yang didapatkan dari Thailand, Hong Kong dan China. Emas itu diisi pada ruang-ruang dalam ukiran tulisan.

Celah ibunya, Lim Ah Dek, 83, pemilihan ketulenan emas amat penting. Ini kerana, emas yang tidak berkualiti lama-kelamaan akan bertukar menjadi hitam.

“Papan tanda ini adalah simbolik warisan kepada masyarakat Cina. Ia boleh melambangkan tempat asal sesebuah keluarga (di China), nama keluarga, dialek dan sebagainya.

“Kebiasaannya papan tanda ini akan diwariskan kepada generasi seterusnya dan kerana itulah pembuatan meliputi aspek pemilihan kayu, ukiran dan penggunaan emas perlu dilakukan dengan sangat teliti serta penuh kesabaran,” katanya.

Jelasnya selain papan tanda, kebanyakan karya kaligrafi yang dihasilkan juga berpasangan kerana merupakan petikan puisi atau peribahasa tradisional Cina yang akan diletakkan di kiri dan kanan pintu kediaman atau premis.

Perniagaan

Mengimbau sejarah pembukaan perniagaan itu, Ah Dek memberitahu, segala-galanya bermula daripada bapanya, Ting Fwu Chang yang berhijrah ke Malaysia dari China pada tahun 1930-an dan mengendalikan kedai buku sambil menawarkan perkhidmatan mengukir kayu.

Kemudian, tumpuan lelaki itu beralih kepada pembuatan papan tanda sekali gus membuka Fwu Chang Trading pada tahun 1936 apabila sektor perniagaan berkembang pesat di negeri-negeri Selat seperti Melaka dan Pulau Pinang dengan pertambahan bilangan masyarakat Cina.

“Ilmu pembuatan itu diturunkan kepada suami dan kini kepada empat anak kami, tiga lelaki dan seorang perempuan. Kesemua mereka pandai mengukir papan tanda, namun istimewanya Wee Chia dia lebih gemar menghasilkan ukiran kaligrafi tradisional dan membuat cop meterainya sendiri pada usia 20-an.

“Pada tahun 2016, kedai keluarga Ting ini juga telah dinamakan Fwu Chang Carving Art Gallery kerana kami telah membuka satu ruang pameran untuk berkongsi estetika ukiran kayu kaligrafi ini kepada orang ramai.

Kata Ah Dek, anaknya itu menggunakan lebih 10 jenis pahat tajam pelbagai saiz dan mata untuk ukiran kaligrafi dan kadangkala pembuatannya memakan masa sehingga tiga tahun meliputi tempoh mendapatkan bahan mentah kayu yang kini sukar diperolehi.

“Kami pernah menunggu bekalan bahan mentah sehingga setahun lamanya.
“Biasanya kita akan menggunakan kayu cengal, mersawa dan merbau kerana kayu-kayu ini tahan lasak, lebih-lebih lagi untuk cuaca negara kita yang lembap,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Ang Chee Yap, 29, berkata, dia mengambil keputusan memandu sejauh lebih 150 kilometer dari Kuala Lumpur semata-mata bagi menempah hasil ukiran kayu tradisional keluarga Ting.

Ujarnya, pembuatan papan tanda tradisional itu semakin sukar diperolehi dan kebanyakan kedai menawarkan papan tanda moden.

“Setakat ini, saya hanya tahu dua tempat yang membuat papan tanda ukiran tradisional ini, satu di Ipoh, Perak dan di sini (Fwu Chang Carving Art Gallery).

“Bagi saya, papan tanda ini penting bagi sesebuah perniagaan kerana ia mempamerkan identiti serta nilai tradisi yang dipikul sesebuah organisasi itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI