SERDANG – Tiga beranak yang maut dalam kemalangan selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda di Kuala Selangor kelmarin sempat bergurau mengenai kematian tiga hari lalu sebelum mereka dijemput ajal.
Perkara itu diceritakan Elfasusanti Ali Yusri, 29, yang memberitahu, ibunya, Anni Kholilah Salim, 47, bergurau bersama dia dan dua adik perempuannya membayangkan sekiranya wanita itu meninggal dunia.
Katanya, pada malam Jumaat lalu, adik bongsunya, Nur Syafiqah, 17, menyoal kepada kakaknya siapa yang akan melakukan kerja rumah sekiranya dia ‘pergi’ dulu.
“Adik (Nur Syafiqah) bergurau begitu kerana dia kerap disuruh mengemas rumah oleh Nur Khalisah.
“Nur Khalisah kemudian menyambung gurauan itu dengan bertanya siapa pula akan menyuruhnya (Nur Syafiqah) melakukan rutin itu sekiranya dia pula yang ‘pergi’ dulu,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Batu 14, Puchong di sini semalam.
Menurut Elfasusanti, ibunya seorang ibu tunggal yang berada berhampiran turut bergurau dengan bertanya bagaimana sekiranya dia yang ‘pergi’ dulu sambil disambut gelak ketawa oleh mereka tiga beradik.
Katanya, dia tidak menyangka gurauan itu benar-benar menjadi kenyataan dan dia kini kehilangan tiga ahli keluarga serentak.
Kemalangan pada pukul 10.30 malam itu mengorbankan Anni Kholilah, Nur Syafiqah dan Nur Khalisah, 24. Ketiga-tiganya menaiki kereta jenis Honda City yang dipandu Nur Khalisah.
Bercerita lanjut, Elfasusanti berkata, tiga beranak itu bergerak ke Tanjung Karang untuk bertemu ibu angkat Nur Khalisah.
“Pada mulanya, ibu keberatan untuk pergi kerana mahu menemani saya membuat kuih, namun beralah selepas dipujuk.
“Kami merancang untuk membuat kuih malam tadi (kelmarin) kerana saya mula berniaga hari ini (semalam),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati tiga beranak itu dalam perjalanan menghala ke Pelabuhan Klang.
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah trak pikap Nissan Frontier dari arah bertentangan yang tidak menyalakan lampu hadapan masuk simpang dan bertembung dengan Honda City.
“Sebuah Perodua Viva yang berada di belakang Honda City turut melanggar bahagian hadapan Nissan Frontier,” katanya.
Tiga beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Nissan Frontier dilaporkan kritikal.
Pemeriksaan awal mendapati lelaki itu tidak mabuk semasa memandu.