MUMBAI, India – Seorang mangsa terkorban dan berpuluh-puluh penghuni dikhuatiri tertimbus selepas bangunan flat lima tingkat di barat India runtuh lewat kelmarin.
Manga hilang dianggarkan berjumlah 51 hingga 200 orang, kata beberapa pegawai berlainan.
“Bangunan runtuh itu merangkumi 47 flat”, kata polis bandar Mahad yang terletak 120 kilometer ke selatan Mumbai, negeri Maharashtra, dalam satu kenyataan.
Punca kemalangan masih belum jelas, namun, bangunan runtuh biasa berlaku di India semasa musim hujan dari Jun hingga September.
Tiga pasukan penyelamat dengan peralatan khusus dan anjing pengesan dikerah ke lokasi kejadian, demikian menurut Pasukan Bertindak Bencana Nasional India (NDRF).
Jurucakap NDRF, Sachidanand Gawde berkata, petugas-petugas kecemasan telah mengeluarkan satu mayat, manakala menurut polis Mahad pula, sekurang-kurangnya 70 orang terperangkap di bawah runtuhan.
“15 orang diselamatkan dan dibawa ke hospital,” kata polis dalam satu kenyataan. – AFP