Oleh Azizan Hashim
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berpuas hati dengan keadaan barisan pemainnya bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 28 Ogos ini walaupun kehilangan penjaga gol utama, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dalam pertemuan menentang Melaka United di Stadium Perak, Ipoh.
Durakovic berkata, barisan pemain sedia ada sudah bersedia menghadapi tujuh perlawanan berdasarkan persembahan semasa latihan dan aksi perlawanan persahabatan.
Perak sudah mengadakan dua aksi persahabatan menentang Kuala Lumpur dan UKM FC dan menang kedua-dua perlawanan itu.
“Saya sudah memberi peluang kepada semua pemain untuk menunjukkan kemampuan masing-masing.
“Mereka nampaknya sudah bersedia untuk meneruskan tugasan,” kata Durakovic.
Katanya, beliau dapat melihat perubahan dalam pasukan itu, terutama pemain muda seperti Mohd. Farid Khazali.
“Saya tertarik dengan persembahan pemain muda ini.
“Dia membuat impak apabila diturunkan dalam babak kedua dan menjaringkan dua gol,” tambahnya.
Mengenai perlawanan dengan Melaka United nanti, Durakovic tidak pernah memandang rendah kemampuan lawan.
“Melaka bukan calang-calang pasukan. Mereka punya pemain berwibawa, Perak mengundang masalah jika mengambil mudah perlawanan ini,” ujarnya.