MANILA – Dua pengebom bunuh diri melakukan serangan bom di selatan Filipina yang membunuh 14 orang dan mencederakan puluhan mangsa, kata komander tentera Filipina hari ini.
Serangan semalam adalah yang paling buruk tahun ini dan berlaku di Pulau Jolo di mana pasukan keselamatan memerangi kumpulan militan Abu Sayyaf sejak sekian lama.
Letupan pertama pada awalnya disangka bom buatan sendiri yang diletakkan pada sebuah motosikal. Ia disusuli sejam kemudian oleh seorang pengebom bunuh diri wanita meletupkan bahan letupan pada badannya.
Lapan anggota pasukan keselamatan dan enam penduduk awam terbunuh dalam letupan terancang itu. Mangsa yang cedera pula termasuk 48 orang awam, 21 askar dan enam anggota polis.
Leftenan Jeneral Cirilito Sobejana berkata, keterangan saksi dan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan bom pertama diletupkan oleh pengebom bunuh diri.
“Perkara ini telah disahkan,” kata Sobejana.
Belum ada pihak mengaku bertanggungjawab tetapi Leftenan Kolonel Ronaldo Mateo berkata kelmarin bahawa kumpulan Abu Sayyaf berkemungkinan besar mendalangi pengeboman itu.
Sobejana berkata, undang-undang tentera akan dikuatkuasakan untuk “mengembalikan situasi normal dan supaya kami dapat mengawal pergerakan orang ramai.”
Disenaraikan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai organisasi pengganas, Abu Sayyaf merupakan kumpulan militan yang dipersalahkan berhubung serangan keganasan paling buruk di Filipina selain kes penculikan pelancong asing dan mubaligh Kristian.
Letupan semalam berlaku berhampiran sebuah gereja Katholik di Jolo di mana dua pengebom bunuh diri meletupkan diri pada Januari 2019, menyebabkan 21 orang terbunuh. – AFP