SEOUL – Kumpulan pop sensasi Korea Selatan, BTS mencipta rekod dunia selepas video muzik terbaharu mereka, Dynamite mencatat 101 juta tontonan dalam masa 24 jam sahaja selepas pelancarannya di laman perkongsian video YouTube, Jumaat lalu, lapor akhbar Daily Mail.
Menurut seorang jurucakap YouTube kepada majalah Forbes, Dynamite merupakan video muzik pertama yang merekodkan jumlah tontonan melebihi 100 juta dalam masa 24 jam.
“Muzik video (Dynamite) ini juga mencipta rekod jumlah tontonan terbesar semasa tayangan perdana di YouTube iaitu tiga juta tontonan,” katanya.
Selain YouTube, BTS yang dianggotai tujuh anak muda tampan telah memecahkan rekod laman muzik Spotify. Kumpulan pop itu merekodkan 7.77 juta langganan dalam masa 24 jam.
Bahkan, Dynamite turut mencatatkan rekod berganda selepas muncul lagu paling pantas mengungguli carta lagu di 100 buah negara iaitu dalam masa lapan jam sahaja.
BTS yang dianggotai RM, Jin, SUGA, J-Hope, Jimin , v dan Jungkook buat julung kali merakamkan single bahasa Inggeris sepenuhnya menerusi lagu Dynamite.
Kumpulan itu berharap Dynamite dapat membawa kegembiraan dan keyakinan kepada peminat mereka untuk berdepan cabaran Covid-19.
“Dynamite membawa mesej kegembiraan dan keyakinan ketika mengharungi waktu sukar.
“Mari mencari kebebasan dan kegembiraan dengan menari dan muzik,” kata SUGA. – Agensi