Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Pemuda Barisan Nasional (BN) menerusi tiga komponen parti iaitu UMNO, MIC dan MCA menghantar satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat isu 101 projek rundingan terus pada zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Jurucakap wakil berkenaan, Muhamad Nur Aizat Noor Azam yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, pihaknya terpanggil membuat laporan itu kerana mungkin wujud ketirisan, salah guna kuasa dan penipuan disebalik rundingan terus projek berkenaan.
“Kami bimbang wujud ketirisan di sebalik pemberian projek itu yang mana wang yang sepatutnya rakyat dapat dirompak oleh kerajaan PH pada ketika itu.
“Kami juga bimbang dengan penjelasan diberikan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa projek rundingan terus itu dibuat dengan kelulusan Kabinet sedangkan ia dinafikan oleh rakan Kabinet mereka ketika dalam pentadbiran PH,” katanya selepas menyerahkan laporan dan aduan kepada SPRM di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Turut hadir menyerahkan laporan termasuk Naib Ketua Pemuda MCA, Yow Toh Gee dan Setiausaha Pemuda MIC, G. Theeageesh.
Katanya, pihaknya mendapati wujud percanggahan fakta, penipuan dan kemungkinan ada salah guna kuasa oleh pemerintahan kerajaan terdahulu berhubung pemberian projek berkenaan.
Muhamad Nur Aizat berkata, pihaknya juga meminta supaya SPRM memaklumkan kepada rakyat mengenai hasil siasatan kes berkenaan.
“Saya membuat laporan ini supaya Guan Eng disiasat dan kesemua maklumat mengenai pelaksanaan 101 projek itu disiasat termasuk penerima projek dan pihak yang meluluskannya,” katanya.
Katanya, pihaknya sedia maklum bahawa tatacara pemberian perolehan secara rundingan terus bukan satu kesalahan, namun bimbang kerana mereka (PH) pernah berjanji tidak akan memberikan projek secara rundingan terus.
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sebanyak 101 projek membabitkan nilai RM6.61 bilion dibuat secara rundingan terus ketika PH mentadbir negara.
Perkara itu didedahkan Tengku Zafrul ketika penggulungan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 di Dewan Rakyat, semalam.-K! ONLINE