PELBAGAI kuih-muih, aiskrim, kek dan segala pencuci mulut akan terbayang-bayang tatkala menonton sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikendalikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak Mac lalu.
Bukan sahaja menunggu pengumuman penting mengenai situasi terkini pandemik Covid-19, tetapi orang ramai turut ternanti-nanti baju apa yang akan dipakai Menteri Kanan Keselamatan itu.
Baju batik itu menerima pelbagai komen mencuit hati di laman sosial yang mengaitkannya dengan aneka makanan serta minuman seperti kek lapis, jus avokado, air batu campur dan agar-agar.
Menurut Datuk Jovian Mandagie yang merupakan orang penting kepada penghasilan baju-baju tersebut, pihaknya tidak menyangka akan menjadi viral dan ia berlaku secara tidak sengaja.
“Ia adalan kebijaksanaan dan kreativiti netizen yang mengaitkan baju-baju itu dengan makanan dan minuman.
“Mungkin ia terjadi kerana baju batik tersebut berwarna-warni dan ceria sehingga kelihatan seperti makanan, apatah lagi ketika itu bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui Stailo di Jovian Mandagie Tower, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Jovian dan Ismail Sabri menganggap reaksi netizen itu sebagai positif serta menjadi peristiwa menghiburkan untuk dikenang suatu hari nanti selain sejarah pahit virus Covid-19.
Jelas Jovian, bapa mertuanya itu sukakan warna-warna ceria serta terang yang sedikit sebanyak memberikan mood gembira kepada penonton ketika mengikuti sidang media di televisyen.
Mengulas mengenai penghasilan baju tersebut, Jovian memberitahu, beliau menghasilkan lebih 20 helai baju batik sepanjang sidang media itu berlansung.
“Kesemua baju-baju itu adalah batik lukis yang menggunakan fabrik sutera.
“Kain batik itu ada yang dilukis sendiri oleh saya, malah ada juga merupakan koleksi daripada pereka batik dari beberapa negeri seperti Terangganu, Kelantan, Pahang, Melaka dan Sarawak yang telah disimpan sekitar 10 tahun,” ujarnya yang telah berkecimpung dalam bidang rekaan fesyen selama 13 tahun.
Tambahnya yang berasal dari Jakarta, Indonesia, batik lukis sangat istimewa kerana setiap satu karya itu tidak boleh diulang pembuatannya kerana hasilnya tidak akan sama sehinggakan setiap helaian hanya satu sahaja boleh dikeluarkan.
Oleh itu, proses untuk melukis batik di atas sehelai kain mengambil masa seminggu, manakala untuk menjahit pula memakan masa selama tiga hari.
“Hendak menghasilkan baju ini tidaklah terlalu sukar kerana bapa mertua saya seorang yang tidak cerewet dan mudah memberikan kerjasama.
“Beliau sudah menganggap saya sebagai perunding fesyen dan sering bertanya pendapat mengenai gaya serta penampilannya,” katanya yang merupakan pencinta batik.
Akui Jovian, sejak baju tersebut viral, beliau banyak menerima permintaan dan ada juga yang mencadangkan agar membuat pengeluaran besar-besaran, tetapi terpaksa menangguhkan seketika untuk memberi tumpuan kepada penjualan pelitup muka.
Setelah sekian lama memendam hasrat tersebut, kini pihaknya dalam proses untuk mengeluarkan koleksi Baju Batik Pak Long Mail yang dijangka akan dipasarkan pada tahun ini.
Konsep untuk koleksi Baju Batik Pak Long Mail sama seperti sebelum ini iaitu warna ceria, bertenaga dan boleh menaikkan mood.