TANJUNG MALIM – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini mencatatkan sebanyak 96.25 peratus keluar mengundi daripada 267 pegawai dan anggota polis yang layak mengundi.
Proses pengundian dijalankan di Dewan Bunga Tanjung di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Muallim di sini dengan satu saluran mengundi dibuka sejak pukul 8 pagi.
Berdasarkan statistik semasa yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 16 peratus pengundi menunaikan tanggungawab masing-masing setakat pukul 9 pagi.
Jumlah itu meningkat kepada 65 peratus pada pukul 12 tengah hari dan meningkat kepada 96.25 setelah tempoh pengundian berakhir pada pukul 5.30 petang.
Secara keseluruhannya, proses pengundian berjalan lancar dengan semua yang terlibat termasuk petugas SPR, dan anggota polis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk membendung Covid-19.
Difahamkan anggota pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut ditempatkan di pusat pengundian untuk membuat ujian Covid-19 jika ada pengundi yang mencatat kadar suhu badan yang tinggi.-K! ONLINE