fbpx

UiTM terima perisian syarikat simulasi ulung Korea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azraai (dua dari kanan) menunjukkan MoU yang dimeterai dengan MRFC dan Universiti Kebangsaan Gyeongsang (GNU) secara maya di Canseleri UiTM Shah Alam, hari ini.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi universiti pertama di Asia Tenggara menerima perisian simulasi pembuatan berjumlah RM3.3 juta daripada sebuah syarikat simulasi terulung di Korea, Metal Forming Research Coporation (MFRC).

Perisian itu digunakan pemain industri Korea bagi memendekkan masa pembuatan, mengurangkan kos dan mengoptimumkan penggunaan logam melalui inovasi pembangunan serta acuan pembuatan.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, kolaborasi bersama rakan industri antarabangsa seumpama itu memberi peluang kepada penuntut menggunakan teknologi simulasi luar negara yang terkini.

“Perisian itu diserahkan kepada Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar (SMRI) hasil hubungan antarabangsa yang terjalin sejak 2016 antaranya latihan industri, penyelidikan dan penerbitan.

“Sebanyak 40 perisian berkaitan aeroangkasa dan automotif serta pembuatan berkaitan logam itu akan diintegrasikan ke dalam pengajian ijazah Kejuruteraan Mekanikal sebelum diperluaskan ke pihak industri tempatan,” katanya selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) di sini hari ini.

Memorandum itu ditandatangani Azraai mewakili UiTM dan Presiden MFRC, Prof Dr. Mansoo Joun serta Presiden Universiti Kebangsaan Gyeongsang (GNU), Prof Dr. Soon-Ki Kwon, secara maya di bangunan Canseleri UiTM.

Azraai menambah, kerjasama UiTM dengan MFRC dan GNU itu akan melibatkan selama lima tahun.

Mengulas lanjut, Mohd. Azraai berkata, dua alumni daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM turut mendapat tajaan penuh untuk pengajian siswazah di GNU.

“Ini seterusnya menepati agenda transformasi UiTM2025 dengan misi menjadi universiti bertaraf dunia yang maju dalam bidang sains, teknologi dan keusahawanan.

“Selain itu, ia selaras dengan Pelan Strategik UiTM bagi melahirkan lebih ramai graduan berkualiti tinggi yang memenuhi kehendak pasaran kerja industri,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI