fbpx

Sultan Sharafuddin pandang serius isu rasuah di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin

SHAH ALAM – Gejala rasuah dalam kalangan pegawai dan kakitangan jabatan penguatkuasaan di Selangor mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kebimbangan berkaitan kes tersebut.

Sultan Sharafuddin bertitah, tindakan segelintir mereka yang terlibat dalam jenayah tidak bermoral itu telah mencemarkan reputasi dan imej kerajaan serta pihak berkuasa terlibat.

“Laporan media yang meluas tentang kesalahan jenayah rasuah yang dilakukan ini menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan.

“Seandainya gejala rasuah ini terus berlaku dengan berleluasa akan menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jabatan-jabatan penguatkuasa ini di dalam melaksanakan tindakan undang-undang di negara ini,” titah baginda menerusi Facebook rasmi, Selangor Royal Office di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa agama Islam melarang keras perbuatan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa.

Sehubungan itu, baginda menyeru dan menasihatkan pegawai dan kakitangan penguatkuasa di semua Majlis-majlis Kerajaan Tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan semua jabatan kerajaan lain yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak sama-sekali melibatkan mahupun mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan dilemparkan oleh mana-mana pihak.

“Ini termasuk juga aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan yang perlu dielakkan sama sekali dari dilakukan.

“Semua pegawai dan kakitangan penguatkuasa ini hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berhemah dengan mematuhi segala prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah lagi, mereka perlu bersikap adil kepada semua pihak ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan dan sentiasa mengamalkan sikap berhemah demi memelihara ketenteraman dan keamanan awam.

“Laksanakanlah tanggungjawab anda semua dengan penuh amanah demi rakyat dan negara,” titah baginda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI