PENYERANG import pasukan Terengganu FC, Dominique Da Sylva percaya semangat penyokong yang disemat dalam hati semua pemain skuad Penyu telah membantu pasukan itu menang 2-0 ke atas Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, pasukan bimbingan Mohd. Nafuzi Zain berjaya membawa pulang tiga mata ke Terengganu, sekali gus berada di tempat ketiga saingan liga.
Da Sylva berkata, meskipun beraksi tanpa kehadiran penyokong, namun dia sentiasa dapat merasai semangat serta sokongan pemain ke-12 skuad Penyu pada perlawanan tersebut.
“Amat sukar apabila beraksi tanpa kehadiran penyokong kerana mereka sentiasa berikan kami semangat serta tenaga apabila sudah kepenatan di atas padang.
“Memang mereka tidak hadir ke stadium tetapi saya dapat rasakan mereka sentiasa ada dengan kami di dalam hati. Tanpa para penyokong, kami tidak dapat rasai suasana perlawanan sebenar.
“Kami perlu berikan segala-galanya di atas padang bagi memastikan mereka gembira. Saya harap mereka berpuas hati dengan kemenangan ini,” kata Da Sylva.
Pada masa sama, pemain kelahiran Mauritania itu gembira apabila menjaringkan kedua-dua gol Terengganu pada perlawanan tersebut sekali gus menerajui senarai penjaring terbanyak dengan enam gol.
Meskipun gembira dengan dua jaringan itu, namun Da Sylva menegaskan, dia tidak mungkin dapat melakukannya tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan.
“Saya sangat gembira apabila berjaya jaringkan dua gol pada perlawanan pertama selepas lama berehat, namun tidak lupa juga peranan rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu. Tanpa mereka, saya tidak berada di sini.
“Walaupun prestasi agak memberangsangkan tetapi saya perlu tingkatkan lagi kemampuan diri. Saya akan berbincang dengan jurulatih dan staf bagaimana untuk tingkatkan lagi aspek permainan,” ujarnya.
Terengganu dijadualkan melayan kunjungan Sabah pada perlawanan seterusnya yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin 29 Ogos ini.