Oleh NUR ALINA HASSAN
MUAR – Seorang lelaki ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman Rabu lalu selepas disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di negara ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, serbuan pada pukul 9.45 malam itu berjaya menahan seorang lelaki berusia 56 tahun di Seri Menanti di sini.
Menurutnya, individu terbabit juga licik apabila menjadikan rumah yang disewa sebagai makmal mini untuk memproses dadah.
“Pada 19 Ogos, pukul 9.45 malam, polis telah menyerbu sebuah kediaman sewa yang mana lokasi ini disyaki dijadikan sebagai makmal dadah berikutan penemuan beberapa peralatan memproses bahan terlarang itu.
“Hasil serbuan berjaya merampas 22.5 kilogram (kg) dadah disyaki heroin dan syabu, 279.27kg serbuk putih dipercayai bahan kimia. Selain itu, polis juga menyita dua buah kereta jenis Volkswagen, sebuah kereta Honda Civic dan sebuah Proton Persona.
“Malah, turut dirampas, empat loket emas dan wang tunai bernilai RM47,800,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini hari ini.
Menurut Zaharudin, nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM1.2 juta.
Jelasnya, suspek yang berasal dari Kluang itu kini direman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 19 Ogos lalu.
“Ujian saringan urin mendapati suspek yang tidak bekerja ini positif dadah jenis opiate. Malah, dia turut mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah iaitu memiliki dan menagih. – K! ONLINE