fbpx

Restoran nasi kandar popular henti operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Kedai nasi kandar tertua di negara ini, Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell di sini menghentikan operasi selama tujuh hari bermula semalam berikutan jumlah pelanggan yang ramai.

Restoran Hameediyah dalam satu kenyataan berkata, penutupan sementara sehingga 29 Ogos itu dibuat berikutan satu notis pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Sebagai hasil daripada populariti restoran kami dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kami telah dinasihatkan oleh pihak berwajib untuk menerapkan amalan jarak fizikal yang lebih baik selama satu minggu ke depan.

“Ia untuk membolehkan restoran dan pelanggan kami mengamalkan jarak fizikal yang betul sesuai dengan langkah-langkah dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan tersebut menambah, pihak pengurusan restoran juga ingin meyakinkan orang ramai bahawa notis itu tidak berkaitan dengan kekurangan kebersihan atau penemuan kes disyaki Covid-19 di premis berkenaan.

“Sebagai restoran yang mempunyai rekod terkenal dalam melayan pelanggan yang berpuas hati selama lebih dari satu abad, kami akan sentiasa menjaga kebersihan dalam kalangan pekerja dan memastikan keselamatan pelanggan pada setiap masa,” kata kenyataan itu lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI