Oleh Ivan Amirul
KOTA KINABALU – Polis Sabah terus memperkukuh hubungan kerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi kesiapsiagaan menghadapi sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ia termasuklah kes berkaitan penculikan untuk wang tebusan (KFR).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya tidak menafikan wujud ancaman KFR setiap kali pilihan raya dilaksanakan.
“Sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu juga terdapat satu kes membabit KFR. Oleh itu, pentingnya kita memperkukuhkan hubungan kerjasama antara IPK Sabah dan Esscom agar dapat menghalang segala ancaman di kawasan pantai timur.
“Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama pihak risikan Esscom dan Bukit Aman sentiasa bekerja keras dalam usaha menangani jenayah berat ini.
“Selain itu, kita turut memiliki hubungan erat dengan pihak risikan di Selatan Filipina serta Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan Kunjungan Hormat Pesuruhjaya Polis Sabah kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.
Ditanya mengenai kunjungan hormat beliau ke atas Ketua Menteri, Hazani menyatakan kunjungan adalah bertujuan untuk menyampaikan visi dan misi beliau selaku Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu.
“Saya hendak fokus bagi menyelesaikan masalah kegiatan jenayah berkaitan dadah, penyeludupan dan perjudian yang berleluasa di seluruh negeri.
“Sabah ketika ini berada dikedudukan kedua tertinggi di Malaysia bagi kegiatan penyeludupan rokok dan minuman selain negeri ini turut menjadi hub transit dadah untuk diseludup ke negara jiran berhampiran,” katanya. – K! ONLINE