fbpx

Penyeludup Indonesia mati terkena tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Hizam (tengah) menunjukan burung murai batu yang dirampas APMM Johor dalam operasi di Tanjung Kelesa, Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Oleh MASTURAH SURADI

KOTA TINGGI – Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas terkena tembakan ketika bergelut dengan anggota penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dalam operasi di perairan Tanjung Kelesa, Pantai Timur Johor awal pagi tadi.

Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, insiden berlaku ketika anggota APMM Zon Maritim Tanjung Sedili cuba menggagalkan cubaan menyeludup keluar Burung Murai Batu dan Murai Kampung.

Kejadian jenayah itu dilakukan suspek bersama seorang lagi rakannya yang juga rakyat tempatan masing-masing berumur lingkungan 40 hingga 62 tahun.

Jelasnya, kedua- dua bot tersebut ditahan bot ronda APMM yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut 1/2020 sekitar pukul 1.30 pagi dan 2.15 pagi di kedudukan 2.0 dan 2.1 batu nautika utara Tanjung Kelesa, Bandar Penawar, Johor.

Katanya, bot pertama yang ditahan menemui dua lelaki warga tempatan manakala bot kedua dinaiki tiga lelaki warga Indonesia di mana ketika bot pertama ditahan, pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa muatan lebih kurang 90 bakul berisi burung Murai Batu dan Murai Kampung.

“Siasatan mendapati bot pertama sedang menunggu sebuah lagi bot dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran. Sejurus bot kedua dari Indonesia tiba, anggota APMM bertindak melompat ke dalam bot tersebut untuk pemeriksaan.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot tersebut terus memecut laju dan mengemudi secara merbahaya serta cuba melanggar bot ronda Maritim Malaysia.

“Dalam usaha untuk memberhentikan bot tersebut telah berlaku pergelutan dan tekong bot bertindak agresif dengan cubaan merampas senjata api anggota penguat kuasa sehingga tercetusnya insiden tembakan dan mengakibatkan salah seorang penyeludup terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di Pusat Kesihatan Tanjung Sedili,”katanya di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, laporan polis bersabit kematian lelaki berusia 40an itu telah dibuat dan siasatan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kedua-dua bot serta tahanan bersama rampasan lebih kurang 90 bakul burung Murai telah dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai lebih kurang RM290,000 termasuk sebuah bot dengan empat enjin 200 kuasa kuda, sebuah bot satu enjin 40 kuasa kuda dan 90 bakul dengan muatan lebih kurang 10 ekor burung Murai setiap bakul,”katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI