Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Seramai 20 pemilik ladang sawit dan kebun getah di Kampung Kala Baru di sini hidup dalam kebimbangan apabila kawasan ladang mereka diganggu seekor gajah liar sejak empat bulan lalu.
Kejadian itu menyebabkan penduduk kampung takut untuk turun ke ladang selepas melihat gajah jantan itu berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit dan kebun getah seluas lebih 40 hektar baru-baru ini.
Seorang penduduk, Mazlan Mohamed, 52, berkata, dia mengalami kerugian sebanyak RM20,000 selepas gajah itu memusnahkan tanaman sawit dan getah miliknya sejak lebih sebulan lalu.
Katanya, dia bimbang kerugian akan terus meningkat selepas gajah liar itu dipercayai masih belum beredar dari kawasan tersebut.
“Kami terpaksa masuk ke kawasan ladang itu secara beramai-ramai kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
“Penduduk juga kerap kali terserempak dengan gajah yang memasuki kawasan tanaman penduduk untuk mencari makanan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Seorang pemilik ladang getah, Abdullah Salleh, 46, pula berkata, gajah liar itu dipercayai sudah menggangu kehidupan penduduk kampung sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu namun, hingga kini masih tiada penyelesaian.
Katanya, penduduk kampung sudah biasa ternampak kelibat gajah di ladang apabila haiwan liar itu dilihat kerap keluar dan masuk ke kawasan tersebut.
“Pada kali ini, gajah liar itu berkeliaran dalam tempoh yang lama dalam ladang penduduk.
“Kami bimbang jika tiada tindakan segera diambil untuk menghalau gajah liar itu. Keadaan itu mungkin akan menjejaskan pendapatan kami yang bergantung kepada hasil ladang,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan pemilik ladang sawit juga sedang menunggu hasil untuk mengutip hasil kira-kira setahun lagi dan serangan gajah itu jelas membimbangkan mereka.
Katanya, kebanyakan penduduk memiliki kawasan pertanian yang luas namun, ia tidak bermakna apabila hasil tanaman diusahakan sering dimusnahkan. – K! ONLINE