SAO PAULO – Brazil mencatat 114,250 kes kematian Covid-19 selepas lima bulan merekodkan kes pertama wabak virus korona, pada ketika pakar-pakar tempatan menyalahkan pemerintah negara itu lambat bertindak.
Brazil ialah negara kedua mencatat jumlah kematian tertinggi dunia selepas Amerika Syarikat (AS).
“Ini satu tragedi, paling buruk pernah Brazil saksikan,” kata ahli sosiologi Celso Rocha de Barros, pada ketika lebih 3.58 juta rakyat di negara itu positif Covid-19. Brazil mencatat kes pertama Covid-19 pada 26 Februari lalu selepas seorang ahli perniagaan pulang dari Itali.
Negara dengan jumlah penduduk seramai 212 juta orang itu merekod kematian pertama pada 16 Mac lalu.
“Masa itu, Brazil masih belum bersedia untuk pandemik,” kata Paulo Lotufo, seorang ahli epidemiologi di Universiti Sao Paulo.
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro mengutuk ‘kekecohan’ berhubung virus itu dan membantah keputusan pihak berkuasa tempatan dan negeri untuk menguat kuasa arahan duduk di rumah.
Bolsonaro menyatakan langkah itu akan memburukkan keadaan ekonomi negara berbanding pandemik Covid-19.
Graf jangkitan dan kematian Covid-19 melonjak sejak beberapa minggu lalu dengan hampir 1,000 kematian harian sepanjang tempoh lebih satu bulan.
“Hampir semua orang akan terkena jangkitan ini nanti. Apa yang kamu takutkan sangat?” kata Bolsonaro selepas beliau tamat tempoh kuarantin selepas didapati positif Covid-19.
Keputusan kerajaan Bolsonaro ‘bercanggah’ dengan apa yang sepatutnya mereka lakukan, kata Barros.
“Perintah berkurung memang sukar. Ia harus diuruskan oleh seseorang pemimpin dengan kredibiliti politik.
“Kamu sepatutnya menjelaskan kepada rakyat bahawa ia sebenarnya sukar tetapi perlu diambil untuk mengelakkan kematian beramai-ramai,” katanya. – AFP/AGENSI