fbpx

Pejabat Peguam Negara Indonesia terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Satu kejadian kebakaran memusnahkan sebahagian besar Bangunan Pejabat Peguam Negara Indonesia di pusat bandar Jakarta kelmarin, lapor agensi berita AFP dan Kompas.

Bangunan itu terletak di Jalan Sultan Hasanudin Dalam, Perkampungan Kramat Pela, Daerah Kebayoran Baru di Jakarta Selatan. Kebakaran dilaporkan bermula kira-kira 7.10 malam (waktu tempatan).

Tiada kes kematian dilaporkan dan pihak berkuasa belum mendedahkan punca kebakaran yang merebak pantas di dalam bangunan enam tingkat itu.

Beberapa gambar menunjukkan seramai 120 anggota bomba dengan kekuatan 65 jentera bomba berusaha mengawal kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar bangunan itu, menurut laporan beberapa media tempatan.

“Ia bermula di tingkat enam. Setakat ini, tiada kematian dilaporkan,” kata jurucakap Pejabat Peguam Negara, Hari Setiyono.

Dia berkata, pejabat di bangunan itu ditutup sempena cuti sejak hari Khamis lalu.

“Tiada sebarang aktiviti dilakukan di dalam bangunan itu semasa kebakaran dilaporkan berlaku,” jelasnya.

Hari mengesahkan pihak pengurusan Pejabat Peguam Negara ada membuat simpanan salinan fail data untuk dokumen di dalam bangunan tersebut, sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kebakaran berlaku.

“Tidak ada masalah berhubung maklumat dan dokumen yang disimpan di dalam bangunan kerana kami sebenarnya sudah ada membuat salinan data peribadi,” katanya.

Portal Tribunnews pula melaporkan kebakaran itu berjaya dikawal dan dipadamkan selepas 12 jam iaitu pada pukul 6.45 pagi semalam, mengakibatkan kemusnahan teruk pada bahagian kiri dan kanan bangunan.

Menteri Penyelaras Bidang Politik, Perundangan dan Keselamatan Hal Ehwal Indonesia, Mahfud MD mengesahkan semua tahanan yang ditempatkan di Pejabat Peguam Negara sudah dipindah keluar pada pukul 9 malam (waktu tempatan) pada hari kebakaran.

“Bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini, tahanan yang ditempatkan di Pejabat Peguam Negara mula dipindah keluar kira-kira pukul 9 malam,” kata Mahfud menerusi satu ciapan di Twitter.

Peguan Negara, ST Burhanuddin menegaskan bahawa tiada mana-mana fail kes, bukti pendakwaan atau dokumen musnah dalam kebakaran itu. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI