NAMA Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sememangnya tidak asing lagi bagi masyarakat dunia. Saban hari, namanya sering meniti di bibir orang ramai dek kecekapannya mengendalikan pandemik Covid-19 di negara ini.
Tutur katanya yang cukup lembut dan sopan membuatkan ramai yang pada waktu itu berada dalam keadaan panik dan terkejut berasa tenang.
Biarpun menggalas tugas sebagai Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013, namun beliau hanya dikenali masyarakat dunia sekitar pertengahan Mac lalu sewaktu negara sedang berperang dengan wabak berbahaya itu.
Pada waktu itu, beliau adalah individu yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat terkini mengenai wabak tersebut kepada rakyat Malaysia menerusi kaca televisyen.
Biarpun kostum adi wira tidak tersarung pada tubuh tinggi lampainya itu, namun figura ini tetap diangkat sebagai hero kerana iltizam atau kesungguhannya di barisan hadapan untuk menangani pandemik Covid-19 bak panglima di medan perang.
Kecekapan, profesionalisme dan sifat kepimpinan yang terserlah membuatkan beliau disanjung dan dikagumi. Lebih-lebih lagi apabila perkara yang dilakukan itu bukan tugas mudah.
Daripada sebuah negara yang menduduki tangga pertama mencatatkan kes tertinggi Covid-19 di Asia Tenggara dan dilihat kritikal, Malaysia berjaya mengawalnya sehingga menjadi antara negara dikagumi dunia dalam menangani pandemik.
Negara luar turut memberi pengiktirafan dengan menamakan beliau antara tiga doktor terbaik dunia.
Tanpa dipinta, satu demi satu penghargaan diberikan kepada pakar bedah endokrin ini apabila baru-baru ini, beliau dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membawa gelaran Tan Sri, selain turut diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H.
Begitupun, setiap kali penghargaan diberikan atas kejayaan yang diperoleh, personaliti berusia 57 tahun ini dengan lembut menegaskan, ia bukan datang daripada dirinya seorang sahaja.
Sebaliknya, seluruh pasukan kesihatan dan petugas barisan hadapan yang turut sama bertungkus-lumus bekerja menangani wabak tersebut.
“Saya hanya mewakili Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ada 250,000 pekerja di bahagian kesihatan, selain petugas barisan hadapan yang berusaha memutuskan rantaian Covid-19.
“Kerjasama padu antara kami untuk mencapai satu matlamat iaitu memutuskan jangkitan Covid-19. Penghargaan ini juga wajar diberikan kepada mereka,” tuturnya lembut.
Melihatkan kejayaan Malaysia mematahkan lengkok kes daripada terus meningkat, pasti ramai yang ingin tahu apa yang dilakukan beliau sejak beberapa bulan lalu.
Berkongsi lanjut pengalamannya sepanjang mengendalikan Covid-19 sehingga ke hari ini, anak kelahiran Sepang, Selangor itu mengakui sudah menjangkakan pandemik yang melanda China penghujung tahun lalu akan menular ke Malaysia dan 188 negara lain.
Bekerja 24 jam
Bimbang dengan situasi itu, pasukannya telah membuat persediaan dua bulan lebih awal.
“Pada bulan Disember tahun lalu (ketika Covid-19 baru melanda China dan beberapa negara), semua orang tidak menyangka wabak ini akan melanda negara ini. Namun, pada waktu itu, kami bersama pasukan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) sudah bersiap sedia dengan menggunakan pengalaman menangani H1N1 dan Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS).
“Latihan diberikan kepada staf kesihatan di lapangan, selain melihat kemampuan hospital untuk mengendalikan kes. Kita sedar sebelum wabak pun, hospital sudah sesak, apatah lagi apabila Covid-19 melanda.
“Kami mula menyusun strategi dan belajar dari negara lain seperti Iran dengan melihat bagaimana mereka mengendalikan pesakit melebihi kapasiti sepatutnya,” jelasnya.
Terang Dr. Noor Hisham lagi, Malaysia mula mencatatkan kes pertama pada 24 Januari lalu melibatkan seorang pelancong dari China.
Melihatkan gelombang pertama yang melanda negara dan kebarangkalian berlaku gelombang kedua membuatkan beliau mewakili KKM terpanggil untuk menasihati Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tindakan segera perlu diambil bagi menyekat penularan pandemik itu.
Lantaran itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 18 Mac lalu. Akui Dr. Noor Hisham, kaedah tersebut bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan.
“PKP dibuat ketika negara tidak mempunyai keupayaan, iaitu ketiadaan vaksin Covid-19 atau ubat untuk merawat pesakit. Di peringkat awal, kita buat secara dua minggu, dua minggu bagi melihat penerimaan rakyat terhadap norma kehidupan baharu.
“Berpindah dari satu fasa ke satu fasa PKP, setiap peralihan dibuat sebaik melihat penurunan kebolehjangkitan kes harian,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana pasukan diketuainya bekerja mendapatkan angka kes jangkitan setiap hari, Dr. Noor Hisham dengan wajah tenang akui, pasukannya bekerja keras selama 24 jam setiap hari bagi mengumpul data itu.
Mendengarkan jawapan itu, tidak hairanlah jika beliau sentiasa mahu kredit turut diberikan kepada pasukannya setiap kali dipuji.
“Kerja-kerja ini tidak melibatkan saya seorang, tetapi ramai individu hebat lain.
“Sejak beberapa bulan lalu, kami menjalani rutin harian sama yang mana setiap hari, KKM akan mengadakan menyuarat dari pukul 8 hingga 9 pagi sebelum diteruskan dengan beberapa mesyuarat bersama agensi lain.
“Kadangkala, setiap tiga kali atau dua minggu sekali, kami akan bermesyuarat bersama Perdana Menteri bagi membincangkan isu tersebut.
“Data-data yang diperoleh daripada petugas yang diamanahkan akan dikumpul pada pukul 2 petang sebelum dibentangkan pada sidang media harian,” jelasnya.
Beliau berharap agar rakyat sentiasa berjaga-jaga, selain patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Tugas menangani Covid-19 bukan terletak pada KKM atau kerajaan semata-mata. Ia adalah tanggungjawab bersama.
“Setiap orang perlu memperkasakan tanggungjawab untuk menang dalam peperangan ini,” jelasnya.