JOHOR BAHRU – “Suspek yang dikenali seorang wanita warga emas berusia 68 tahun di Facebook telah berjanji mahu berkahwin dengannya, malah memberi kekasihnya itu wang lebih RM3 juta untuk membeli rumah serta kereta.”
Itulah taktik licik seorang lelaki memperdayakan wanita warga emas sehingga mangsa mengalami kerugian RM257,172 yang didedahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah.
Mohd. Salleh berkata, wanita warga emas itu mengenali suspek yang kononnya lelaki warga asing dari Amerika Syarikat (AS) menerusi laman sosial Facebook kira-kira tiga tahun lalu.
Katanya, sepanjang perkenalan, lelaki itu telah menabur pelbagai janji manis kepada wanita terbabit termasuk mahu berkahwin dengannya.
“Suspek juga telah menipu mangsa kononnya sudah menghantar wang tunai sebanyak AS$750,000 (RM3,135,000) bagi tujuan pembelian rumah dan kereta untuk kegunaan mangsa.
“Lelaki terbabit yang dipercayai sindiket love scam itu memberitahu mangsa yang wang tersebut akan dihantar melalui ejen penghantaran wang AS,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd. Salleh berkata, wanita terbabit kemudiannya telah dihubungi seorang individu yang menyamar sebagai ejen penghantaran wang dari Kuala Lumpur menerusi aplikasi WhatsApp.
Katanya, lelaki terbabit meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM300,000 sebagai yuran pemprosesan kastam dan cukai penghantaran wang.
“Mangsa yang tidak bekerja telah menggunakan duit peninggalan mendiang suaminya dan meminjam wang daripada rakan-rakan untuk membuat bayaran tersebut.
“Mangsa telah membuat beberapa kali transaksi pembayaran bermula 11 Julai lalu sehingga wang mangsa tidak lagi mencukupi,” ujarnya.
Menurutnya, wanita terbabit akhirnya menyedari dirinya telah ditipu oleh sindiket love scam itu apabila suspek masih meminta bayaran yang seterusnya.
Ekoran kejadian itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Johor Bahru Sentral di sini kelmarin.
Difahamkan, lelaki yang kononnya dari Amerika Syarikat terbabit dipercayai hanya rakyat negara ini.