fbpx

Ning hangatkan Kempen Tabung Pahlawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NING BAIZURA

MENYEMARAKKAN sambutan Hari Pahlawan tahun ini, Media Prima Berhad telah berkolaborasi dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) untuk melancarkan Kempen Tabung Pahlawan 2020. Kempen ini dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman selaku Penaung Kempen Tabung Pahlawan.

Kolaborasi antara Media Prima Berhad dan JHEV ATM dalam Kempen Tabung Pahlawan 2020 bertujuan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat dalam memberi penghormatan dan penghargaan kepada perajurit negara yang berkorban menjaga keselamatan serta kedaulatan tanah air kita.

Kempen Tabung Pahlawan 2020 ini mensasarkan jumlah kutipan melebihi RM10 juta dan sebarang sumbangan boleh dibuat menerusi Tabung Rayuan Hari Pahlawan.

Hasil kutipan tabung akan digunakan untuk membantu veteran ATM yang kurang upaya, balu veteran orang kelainan upaya (OKU), kos perubatan, bantuan peralatan pesakit, bantuan bencana alam dan bantuan kebajikan yang lain.

Sumbangan untuk kempen boleh dihulurkan menerusi Affin Bank menggunakan nombor akaun 1059 5000 3201.

 

Selain itu, sebuah lagu istimewa turut dilancarkan oleh Primeworks Studio Sdn. Bhd. bertajuk Perwira nyanyian Ning Baizura bagi menghangatkan lagi semangat kempen.

Dicipta oleh komposer terkenal, Aubrey Suwito bersama Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Izham Omar, Perwira berkisahkan perjuangan anggota tentera tanah air yang gugur di medan perang.

Lagu khas

Menurut Ning, dia amat terkesan saat merakam lagu berkenaan kerana membayangkan kekentalan hati dan semangat para pahlawan negara dalam misi mempertahankan tanah air tercinta.

“Pertemuan saya dengan beberapa veteran ATM untuk mendengar kisah-kisah mereka dan pengorbanan selama bertugas sangat menyentuh hati.

“Saya amat berbangga kerana diberi peluang untuk membawakan lagu Perwira yang saya anggap sebagai hadiah penghargaan buat mereka yang mempertaruhkan jiwa dan raga buat Malaysia,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja majlis pelancaran tabung tersebut selesai.

Proses rakaman lagu berkenaan telah berlangsung pada penghujung Jun lalu di Studio Cranky Music milik Aubrey Suwito dan mengambil masa kurang daripada empat jam untuk disiapkan.

Lagu Perwira kini boleh dilayari menerusi semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan YouTube Music bermula 17 Julai lalu, manakala video muzik pula bakal disiarkan bermula 24 Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI