SEBERANG PERAI – Hasrat seorang anak lelaki untuk membawa bapanya melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital tidak kesampaian apabila warga emas itu ditemui mati lemas di dalam Sungai Permatang Bendahari, Kepala Batas di sini hari ini.
Lebih menyayat hati apabila mayat mangsa, Ooi Kay Huat, 68, ditemui terapung di dalam sungai dalam keadaan masih mengenakan topi keledar kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan tertiarap selain dompet dan telefon miliknya ditemui bersama. Motosikal mangsa belum ditemui.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa sepatutnya menjalani pemeriksaan penyakit jantung di sebuah hospital swasta hari ini, namun ketika anaknya mahu menjemput di rumah keluarganya di Simpang Ampat pada pagi tadi, mangsa tiada di rumah.
“Anak mangsa berusia 39 tahun kemudiannya dimaklumkan oleh ibunya bahawa lelaki itu berkemungkinan pergi ke sebuah tokong untuk sembahyang dengan menunggang motosikal, namun dia tidak ditemui di situ.
“Anak mangsa berasa tidak sedap hati dan telah pergi menyemak di beberapa hospital namun tidak menemui bapanya sebelum membuat laporan polis berhubung kehilangannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, sebaik laporan polis dibuat, anak mangsa diminta pergi ke Hospital Kepala Batas untuk membuat pengecaman mayat seorang lelaki yang ditemui di tepi sungai.
“Daripada pengecaman mayat itu, anak mangsa mengesahkan bahawa ia adalah mayat bapanya.
“Hasil siasatan lanjut ke atas mayat itu tidak menemui sebarang unsur jenayah dan punca kematiannya adalah disebabkan lemas,” katanya.
Noorzainy berkata, mangsa yang juga seorang pesara dikatakan tidak mempunyai masalah kewangan serta tidak pernah bergaduh dengan sesiapa.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE