Oleh NUR SYAZWANA MANSOR
SUNGAI PETANI – Polis menahan dua daripada empat ahli Geng Alai yang disyaki aktif melakukan jenayah samun dan pecah rumah termasuk premis sarang burung walit di daerah Kuala Muda pada 12 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan sepasukan polis yang membuat rondaan cegah jenayah/Ops Covid-19 di sekitar Sungai Petani kira-kira pukul 4 pagi.
Kata beliau, anggota polis yang melakukan rondaan di Jalan Kampung Baru di sini ternampak sebuah kereta jenis Nissan Sunny berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota kemudian mengarahkan pemandu supaya memberhentikan kereta untuk pemeriksaan tetapi suspek bertindak memecut sebelum terbabas ketika melalui Jalan Pinang Tunggal 2 berdekatan kawasan Perindustrian Ringan Taman Kempas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
Adzli berkata, hasil pemeriksaan pada kereta tersebut menemui dadah jenis syabu dan beberapa peralatan dan senjata termasuk parang yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan itu dikesan terlibat dalam enam kes jenayah membabitkan pecah rumah, samun bersenjata dan curi kenderaan sejak tahun lalu.
“Kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai turut terbabit dalam enam kes curi sarang burung di daerah Kuala Muda.
“Hasil semakan mendapati mereka juga merupakan individu dikehendaki polis dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah selain positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Dalam pada itu, Adzli berkata, melalui siasatan yang dilakukan suspek turut mendedahkan dua lagi rakan sejenayah mereka yang masih bebas dikenali sebagai Tang Aik Teong, 38, dan Teh Kim Hee, 46.
“Kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dua suspek yang masih bebas itu untuk menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, Seksyen 28 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE