Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
ISKANDAR PUTERI – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya mematahkan cubaan satu sindiket menyeludup 483 karton minuman keras bernilai RM810,898.20 dalam dua serbuan berasingan sekitar Gelang Patah, di sini semalam.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, dalam operasi itu pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis berusia 46 tahun.
Katanya, kejayaan tersebut bermula daripada risikan dibuat terhadap aktiviti penyeludupan di pesisir pantai Forest City, di sini.
“Risikan seterusnya mendapati barang diseludup dibawa menaiki kenderaan untuk disimpan di premis ditetapkan sebelum diedar ke pasaran.
“Serbuan di lokasi kedua berjaya setelah pihak berkuasa menerima maklumat hasil soal siasat terhadap orang yang disyaki ketika serbuan pertama dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menerusi serbuan itu, PPM Wilayah Dua menemui 21 kotak mengandungi 483 karton minuman keras pelbagai jenis disyaki tidak bercukai. Turut dirampas sebuah kenderaan pelbagai guna, Honda Odyssey.
Muhd. Zailani turut berkata, nilai keseluruhan rampasan melibatkan minuman keras dan sebuah kenderaan adalah RM910,898.20. – K! ONLINE.