Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 merampas sebanyak 19 guni kain batik bernilai RM182,400 dipercayai diseludup dari negara jiran selepas menahan sebuah pacuan empat roda di Jalan Pintu Geng, Wakaf Che Yeh dekat sini kelmarin.
Pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero itu berjaya ditahan oleh anggota PGA selepas mengekorinya sejauh 25 kilometer.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, sepasukan anggota yang sedang melakukan tugas rondaan rutin telah terserempak dengan kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di jalan lama Pasir Mas-Kota Bharu.
“Anggota PGA telah mengekori Mitsubishi Pajero itu sehingga ke Jalan Pintu Geng dekat Wakaf Che Yeh.
“Terkejut melihat kenderaan mereka diekori, pemandu pacuan empat roda itu telah berhenti di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad berkata, pemandu dan seorang penumpang hadapan bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran selepas kenderaan mereka ditahan.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam pacuan empat roda itu membawa kepada penemuan 19 bungkusan guni mengandungi kain batik lukis yang diseludup masuk secara haram ke negara ini menggunakan pangkalan haram.
“Siasatan awal mendapati kain batik itu dibawa masuk untuk pasaran tempatan.
“Kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan dan siasatan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE