Oleh MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
JITRA – Lebih 1,000 penduduk di empat kampung di Mukim Jeram di sini dibelenggu dengan masalah bau dan lalat dari sebuah ladang ternakan ayam di situ sejak 20 tahun lalu.
Kampung tersebut adalah Kampung Tanjung, Kampung Guar, Kampung Gelong Rambai dan Kampung Rang.
Penduduk, Hajar Ahmad, 67, dari Kampung Tanjung berkata, masalah itu menyebabkan penduduk kampung hidup dalam keadaan tidak selesa.
“Kami malu dengan tetamu yang datang ke rumah apabila melihat makanan dihurung banyak lalat.
“Pelbagai usaha dilakukan tetapi tidak berjaya untuk menghalau lalat tersebut,” katanya.
Dia ditemui semasa tiga Exco Kerajaan Negeri Kedah iaitu Dr. Robert Ling Kui Ee, Azman Nasrudin dan Halimaton Shaadiah Saad meninjau ladang ternakan ayam berkenaan di sini hari ini.
Katanya, penduduk juga berasa bimbang setiap kali mahu mengadakan kenduri.
“Lauk dihurung lalat selain bau busuk yang meloyakan,” ujarnya yang tinggal kira-kira 20 meter dari ladang ayam itu.
Seorang lagi penduduk, Asri Abdullah,50, dari Kampung Guar pula berkata, masalah lalat sangat memberi kesan dalam kehidupan penduduk di kawasan itu.
Katanya, ada penduduk yang terpaksa tidur menggunakan kelambu pada waktu siang .
Sementara itu, Robert yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Kedah berkata, pihaknya akan mengarahkan pegawai Jabatan Alam Sekitar memantau kawasan ladang ternakan ayam tersebut dari semasa ke semasa.
“Saya juga telah meminta penternak menyembur pembasmi lalat supaya masalah itu dapat diatasi,” katanya. – K! ONLINE