fbpx

Warisan restoran nasi kandar tertua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KIRA-KIRA pukul 6 pagi sekitar tahun 1900-an, Mohamed Sherif Rawther yang segak berkemeja putih dan kain pelekat kelihatan mengerah keringat mudanya mengandar sebatang kayu panjang pada bahu kanan.

Lelaki berusia 20-an itu terpaksa membongkokkan sedikit badan untuk mengimbangi diri ketika menggalas batang kayu tersebut. Ini kerana, pada setiap hujung batang kayu itu tergantung dua buah bakul rotan besar yang berisi makanan.

Pemuda berketurunan India Muslim itu mengandar makanan tersebut dari tempat masakan itu dimasak keluarganya di sebuah kedai dua tingkat bernombor 164, Jalan Campbell, George Town, Pulau Pinang ke kawasan padang yang jaraknya kira-kira 50 meter.

Kehadiran Mohamed Sherif sudah dinanti-nanti orang ramai terutamanya para buruh yang bekerja di pelabuhan kerana menggemari menu yang dijualnya iaitu nasi putih bersama lauk kari ikan bawal putih dan daging goreng.

Lebih istimewa, makanan itu dijamu dengan telur rebus dan bendi.

Bagi masyarakat tempatan, kaedah jualan seperti itu adalah sesuatu yang unik hingga menggelarkan hidangan India Muslim itu nasi kandar sempena cara dibawa oleh peniaganya.

Biarpun berasa penat membuat kerja itu, Mohamed Sherif tidak pernah mengeluh sementelah dia telah membuat keputusan besar untuk merantau bersama keluarga dari kampung halaman di Ramanathapuram, Tamil Nadu di selatan India ke Tanah Melayu untuk bergelar pedagang rempah di Pulau Pinang.

 

 

Begitulah rutin harian lelaki berkenaan sebelum dia meninggal dunia pada tahun 1963 iaitu pada usia 77 tahun. Perniagaan tersebut kemudiannya diteruskan oleh generasi kedua, Aboo Backer Rawther.

Jika masih hidup, Mohamed Sherif pasti berbangga kerana perusahaan yang dimulakan bersama keluarganya itu bukan sahaja masih bertahan sehingga mencapai usia lebih 114 tahun, bahkan berkembang maju.

Perniagaanya itu kini dikenali sebagai Restoran Hameediyah sejak tahun 1930-an selepas diberi nama oleh pewarisnya. Perniagaan ini turut diiktiraf sebagai restoran nasi kandar tertua di negara ini.

Generasi ketujuh yang juga pemilik Restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor, 65, berkata, perusahaan itu kekal istimewa kerana masih menjalankan perniagaan di lokasi asalnya, selain mengekalkan resipi sejak lebih seabad.

“Antara menu yang menggunakan resipi asli adalah daging goreng (ala rendang), kari ikan, kari kambing dan kari ayam. Kira-kira 30 hingga 40 jenis rempah yang digunakan masih sama.

“Restoran ini juga tetap akan berdiri teguh di sini seperti asalnya, namun kami turut menggunakan premis selang dua kedai dari sini sebagai tempat tambahan bagi menampung jumlah pelanggan yang semakin ramai,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

 

 

Selain Ahamed Seeni, perniagaan itu turut diusahakan bersama adiknya, Syed Ibrahim. Turut membantu anak lelakinya, Muhamad Salim dan anak Syed Ibrahim, Muhamad Riyaaz.

Bercerita lanjut, Ahamed Seeni berkata, perusahaan itu menyaksikan pelbagai sejarah pahit dan manis biarpun kebanyakan kisahnya melalui lisan yang diperturunkan dari generasi ke generasi.

“Ketika Perang Dunia Kedua tercetus (sekitar tahun 1939), perusahaan terpaksa dihentikan sebelum disambung semula ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Kalau nak tahu, tentera Jepun juga gemar makan nasi kandar.

“Ketika dibuka semula selepas itu, makanan ini tidak lagi dijual dengan cara tradisional (mengandar), tetapi perniagaan dibuat di dalam kedai ini,” katanya yang mengambil alih perniagaan sejak tahun 1980.

 

 

Meneruskan legasi

Selain kedai induk berkenaan, Restoran Hameediyah turut mengembangkan perniagaannya dengan membuka cawangan di Jalan Baru, Seberang Perai pada 2017, Damansara dan Ampang, Selangor masing-masing pada 2018 dan 2019 serta bakal membuka restoran baharu di Sungai Ara, Bayan Lepas pada hujung bulan ini.

Menurutnya, selain mengekalkan resipi asli nenek moyang, restoran itu turut memperkenalkan menu baharu secara berperingkat sejak tahun 2000.

“Selain popular dengan ayam masak ros, ayam kapitan, daging goreng, nasi beriani dan martabak, ada menu istimewa lain seperti lamb shank (betis kambing), udang harimau dan sotong apollo.

“Ramai juga yang tidak melepaskan peluang mencuba hidangan eksotik seperti kari arnab, itik manila (itik serati), ayam piru (ayam belanda), ayam mutiara dan lobster,” kata bapa kepada tujuh cahaya mata itu.

 

 

Ahamed Seeni berkata, setiap hari restoran berkenaan menyediakan kira-kira 200 ekor ayam, lebih 20 kilogram daging dan empat ekor ayam piru selain menjual antara 400 hingga 700 keping martabak.

Sementara itu, Muhamad Salim, 28, yang sedang mempelajari selok-belok perniagaan daripada bapanya berkata, dia berbangga kerana dapat meneruskan legasi perniagaan keluarga yang kini turut menjadi antara salah satu keunikan yang dimiliki negara ini.

“Dahulu restoran ini tidak popular kerana kedai kami kecil, tetapi mula disebut-sebut sejak kira-kira 12 tahun lalu selepas menjadi buah mulut dalam kalangan pelancong dan penduduk Pulau Pinang.

“Kami juga memperkenalkan produk pek segera hidang bagi menu signatur seperti daging masak rendang, ayam ros dan kari kambing untuk memudahkan pengguna menikmati menu Restoran Hameediyah di mana-mana sahaja mereka berada,” katanya.

Seorang penduduk tempatan yang merupakan penggemar nasi kandar, Muhammad Izzuddin Anuar, 25, berkata, dia kerap mengunjungi restoran itu sejak kecil kerana menggemari resipinya yang asli.

“Saya tidak kisah walaupun kena beratur panjang kerana menggemari lauk ayam masak ros selain masakan dagingnya yang menggunakan resipi asli,” kata anak kelahiran Balik Pulau itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI