fbpx

Warga emas diperdaya rugi RM257,172

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Salleh

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga emas berusia 68 tahun mengalami kerugian sebanyak RM257,172 setelah diperdaya oleh seorang lelaki dikenali hanya menerusi media sosial Facebook kira-kira tiga tahun lalu yang berhasrat untuk mengahwininya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah berkata, suspek bertindak menipu mangsa dengan mengatakan telah menghantar wang tunai sebanyak RM3,135,000 (USD750,000) bagi tujuan pembelian rumah dan kereta untuk kegunaan mangsa.

Katanya, suspek yang dipercayai sindiket love scam itu memberitahu mangsa wang tersebut akan dihantar melalui ejen penghantaran wang Amerika Syarikat.

“Mangsa telah dihubungi menerusi aplikasi Whatsapps oleh individu yang menyamar sebagai ejen penghantaran wang dari Kuala Lumpur dan telah meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM300,000 sebagai yuran proses kastam dan cukai penghantaran wang.

“Wanita warga emas yang tidak bekerja itu menggunakan duit peninggalan mendiang suaminya selain sanggup meminjam daripada rakan untuk membuat pembayaran tersebut. Mangsa telah membuat beberapa kali transaksi pembayaran sehingga wang mangsa tidak lagi mencukupi.

“Dia mula perasan telah ditipu oleh sindiket tersebut apabila suspek masih meminta bayaran yang seterusnya. Satu laporan telah dibuat di Balai Polis Johor Bahru Sentral semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Salleh berkata, orang ramai diingatkan supaya lebih peka dan menyemak dengan pihak polis sebelum melakukan sebarang transaksi yang meragukan.

“Polis Johor ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan kumpulan sindiket phone love scam ini dan tidak membuat sebarang transaksi tanpa merujuk kepada pihak polis terlebih dahulu,” tambahnya.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI