fbpx

Selimut putih petanda ajal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Inilah kereta Proton Persona yang ditutup dengan kain putih oleh Noraniza sebelum dia menemui ajal dalam nahas di hadapan surau Al-Muqqarabin di Kampung Mambau, Seremban semalam.

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR dan NOR AINNA HAMZAH

SEREMBAN – Seorang ibu tunggal yang maut dalam kemalangan di hadapan Surau Al-Muqqarabin di Kampung Mambau di sini semalam seolah-olah tahu ajalnya hampir tiba.

Mangsa, Noraniza Mohamed Amin, 42, menutup keretanya jenis Proton Persona dengan kain putih sehari sebelum berlakunya kejadian yang meragut tiga nyawa itu.
Perkara itu disedari oleh bapa mangsa, Mohamed Amin Hashim, 74, yang kemudiannya menegur perbuatan anaknya itu.

 

Difahamkan, arwah yang be­kerja sebagai pegawai bank menggunakan kenderaan tersebut untuk berulang-alik dari rumahnya ke tempat kerjanya di pusat bandar Seremban setiap hari.

Kejadian itu diceritakan adik arwah, Norashikin, 35, yang memberitahu ahli keluarganya tidak mengesyaki apa-apa walaupun kakaknya tidak pernah menggunakan kain putih untuk menutup kenderaannya sebelum ini.

Sementara itu, cerita Noras­hikin, menjadi rutin arwah membuka pintu Surau Al-Muqqarabin pada setiap pagi untuk jemaah menunaikan solat Subuh.

“Namun, pagi tadi (semalam) kakak minta ibu (Normah Ma’amor) dan bapa pergi ke surau terlebih dahulu dan dia akan menyusul kemudian,” katanya.

Menurut Norashikin, ketika kejadian, ibunya terdengar bunyi dentuman selepas menunaikan solat sunat, namun tidak mengesyaki apa-apa.

Selepas selesai solat Subuh, warga emas itu pulang ke rumahnya yang terletak 100 meter dari surau kerana bimbang Noraniza tiada di surau.

“Ibu ternampak kemalangan itu, namun tidak menyangka ia membabitkan kakak saya. Selepas mendapati kakak tiada di rumah, dia keluar se­mula mencari sebelum menemui kakak dalam keadaan kaku di lokasi kemalangan,” katanya.

Ketika mayatnya ditemui, Nor­aniza menggenggam wang RM2 untuk disedekahkan di surau.

“Kakak sentiasa menyediakan wang kecil untuk sedekah,” katanya sayu.

 

 

Noraniza meninggalkan empat anak iaitu Nur Alia Fatihah Ahmad Fadly, 16, Nur Damia Bat­risya, 14, Addaar Quthny, 12, dan Nur Qamereena Khalesya, 9.

Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, Noraniza yang sedang berjalan menuju ke surau maut selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki.

Rempuhan itu turut meragut nyawa sepasang suami isteri iaitu K. Thamotharan, 44, dan S. Rama­devi, 38, yang menunggang motosikal jenis Demak dalam perjalanan ke tempat kerja mereka­ di Hospital Tunku Ja’afar (HTJ) di sini.

Siasatan mendapati sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun terbabas dan masuk ke laluan bertenta­ngan lalu merempuh sebuah motosikal sebelum berpusing dan melanggar seorang pejalan kaki.

Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI