LISBON – Kapten Paris Saint-Germain (PSG), Thiago Silva mahu rakan-rakan sepasukan menamatkan musim ‘dongeng’ mereka dengan meraih kemenangan ke atas Bayern Munich pada aksi final Liga Juara-Juara di Stadium Da Luz awal pagi esok.
Silva, 36, percaya PSG berpeluang mencipta sejarah unik dengan menjulang trofi kelima selepas berjaya menyapu bersih kesemua empat kejohanan domestik musim ini iaitu Ligue 1, Piala Liga Perancis, Piala Perancis dan Piala Kejuaraan Perancis.
“Pasukan ini telah mengharungi musim yang cukup cemerlang, tetapi saya tidak mahu kami sekadar berpuas hati dengan kejayaan domestik. Kami sekarang mendapat peluang terbaik untuk mencipta sejarah di pentas Eropah.
“Cuma, kami akan berdepan sebuah pasukan yang boleh dikatakan terbaik dan sempurna ketika ini. Saya menjangka perlawanan itu nanti akan berlangsung cukup sengit.
“Bayern mempunyai pemain-pemain berkelas dunia di setiap posisi daripada penjaga gol (Manuel Neuer) hinggalah penyerang (Robert Lewandowski) yang kini merupakan penjaring terbanyak musim ini,” katanya.
Tonggak pertahanan Brazil itu bertekad menjadikan trofi Liga Juara-Juara sebagai hadiah perpisahan terbaik kepada dirinya kerana aksi final awal pagi esok bakal menjadi perlawanan terakhirnya bersama skuad bimbingan Thomas Tuchel.
Ini kerana kontrak Silva akan berakhir hujung bulan ini dan dia kini sudah mula dikaitkan dengan spekulasi perpindahan ke England menyertai Chelsea yang dikatakan sedang berunding untuk mendapatkan khidmatnya musim depan. – AGENSI