fbpx

Penduduk rayu atasi bau toksik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Sungai Selangkah kelihatan berwarna hitam dan berbau busuk sehingga menyebabkan penduduk loya dan pening.

PASIR GUDANG – Kira-kira 3,500 penduduk di dua buah taman perumahan di sini men­dakwa terpaksa menanggung derita menghidu udara kotor dan bau busuk dari Sungai Selangkah yang terletak berhampiran kediaman mereka.

Taman Tanjung Puteri Resort terletak kira-kira 500 meter, manakala Taman Pasir Putih pula terletak dua kilometer dari sungai tersebut.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Tanjung Puteri Resort Fasa 2, Mohd. Shah Md. Ali Hanafiah berkata, bau busuk itu dipercayai datang daripada sisa industri yang dibuang ke dalam sungai tersebut sejak lima tahun lalu.

“Kami menghidu bau busuk hampir setiap hari dan keadaan bertambah buruk pada hujung minggu dan cuti umum.

“Pencemaran ini bagaikan tiada kesudahan malah semakin teruk seolah-olah tiada langkah penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Shah, rata-rata penduduk terutama kanak-kanak berasa takut apabila menghidu bau pelik kerana masih trauma dengan kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim pada Mac tahun lalu.

Sementara itu, penduduk, Suzana Bohari, 42, mendakwa, dia menghidu bau kuat seperti pembakaran sampah pada 24 Jun lalu.

“Saya menyangka jiran membakar sampah, selepas itu anak saya pula mengadu bau sama sehingga menyebabkan dia pe­ning kepala dan tidak boleh tidur sepanjang malam,” katanya yang menetap di Taman Puteri Resort Fasa 2.

Bagi penduduk Taman Pasir Putih, Zaidi Abu Bakar, 50, pula, dia mendakwa menghidu bau busuk seakan bau plastik sehingga menyebabkan dadanya sakit pada 5 Julai lalu.

“Hampir setiap minggu saya terpaksa menghidu bau busuk ini sejak April lalu. Mereka (kilang) dipercayai buang sisa kimia ke dalam saliran pada waktu malam dan bau busuk ini semakin kuat pada hujung minggu,” katanya.

Zaidi yang sudah 20 tahun menetap di taman berkenaan khua­tir kejadian pencemaran seperti Sungai Kim Kim yang berlaku pada tahun lalu akan berulang sekiranya masalah tersebut tidak diatasi dengan segera.

Sementara itu, tinjauan ­Kos­mo! Ahad di Sungai Selangkah mendapati kawasan itu tercemar dengan sisa buangan dan warna sungai bertukar hitam.

Wartawan yang me­lakukan tinjauan di sepanjang 1.5 kilo­meter di jajaran sungai tersebut turut menghidu bau busuk sehingga menyebabkan rasa loya dan pening.

Sungai Selangkah bersambung dengan Sungai Kim Kim, lokasi berlakunya pencemaran sehingga menjejaskan kesihatan hampir 6,000 mangsa termasuk kanak-kanak.

Pencemaran itu turut menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup untuk semen­tara waktu pada 7 Mac 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI