LISBON – Penyerang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Neymar mengakui terdesak untuk menjuarai saingan Liga Juara-Juara musim ini bagi mencerahkan impiannya dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or pada masa depan.
Bintang berusia 28 tahun itu telah mempamerkan aksi luar biasa buat PSG musim ini apabila berjaya membantu juara Ligue 1 berkenan mara ke final Liga Juara-Juara menentang gergasi Jerman, Bayern Munich di Stadium Da Luz awal pagi esok.
Justeru, kapten Brazil itu bertekad untuk mencipta sejarah baharu buat skuad kendalian Thomas Tuchel dengan menjuarai Liga Juara-Juara buat pertama kali, sekali gus memenangi trofi kelima mereka musim ini.
“Tiada apa yang lebih istimewa selain menjuarai Liga Juara-Juara, tetapi menang dengan PSG adalah pengalaman luar biasa kerana nama anda akan tercatat dalam sejarah pasukan ini.
“Aksi bertemu Bayern bukan mudah kerana peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50. Namun, ini adalah pentas terbaik untuk kami menamatkan badi dalam kejohanan Eropah,” katanya.
Dalam masa sama, Neymar percaya dia berpeluang menamatkan dominasi dua pemain terbaik dunia, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo untuk memenangi anugerah Ballon d’Or jika PSG ditabalkan sebagai juara Eropah musim ini.
“Kedua-dua mereka (Messi dan Ronaldo) sangat luar biasa kerana sudah mendominasi Ballon d’Or lebih daripada 10 tahun. Peluang saya mungkin cerah untuk menang anugerah berprestij itu jika PSG berjaya menakluk Eropah tahun ini,” jelasnya. – AGENSI