fbpx

Maruah, ribuan ringgit tergadai kerana mabuk cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL ditinggalkan kekasihnya yang juga suami orang dan bapa anak satu setelah menyerahkan maruah dirinya. –GAMBAR HIASAN

PERASAAN itu tiba-tiba menggoncang jantung Nurul (bukan nama sebenar), 28. Rasa bersalah dan jijik terhadap apa yang dilakukannya bersama kekasih yang juga suami orang menerpa hatinya.

Bukan sekali rasa bersalah itu datang, namun sebelum ini dia cuba mengabaikannya.

Dahulunya Nurul seorang gadis kampung polos yang menjaga maruah diri, tetapi mula berubah apabila mengenali Azman (bukan nama sebenar).

Sifat penyayang dan romantik yang ditunjukkan lelaki berstatus suami orang dan bapa anak satu itu membuatkan hati Nurul cair.

“Dahulu saya memegang teguh prinsip untuk tidak bercinta dengan suami orang, tetapi entah bagaimana hati boleh terpaut dengan Azman.

“Mungkin sifat penyayang, romantik dan ambil beratnya membuatkan saya jatuh hati kepadanya,” katanya kepada Panorama.

Bukan tidak cuba menolak perasaan tersebut, tetapi Nurul gagal melawan rasa sayang yang mendalam terhadap lelaki itu.

Pada mulanya, mereka berdua hanya meluangkan masa untuk makan bersama, membeli-belah dan menonton wayang. Lama-kelamaan Azman menunjukkan belangnya apabila suatu hari mengajak Nurul ke sebuah hotel selepas makan malam bersama.

Nurul yang mabuk cinta hanya menuruti tanpa berfikir panjang sehingga dirinya terlanjur dengan suami orang.

“Peristiwa hitam itu tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Diri ini dirasakan sangat bodoh kerana dengan mudah termakan pujuk rayu lelaki.

“Rentetan kejadian di hotel itu telah membuka ruang kepada Azman untuk mengulangi perbuatan serupa,” ujar Nurul sambil menyeka air mata.

Dek kerana rasa sayang kepada lelaki itu, Nurul tidak hanya menyerahkan maruah dirinya tetapi juga wang sehingga ribuan ringgit kepada Azman kerana lelaki itu berkata mahu meminjamnya.

Walaupun ada rasa kesal di hati Nurul, tetapi mereka berdua tetap melakukan perbuatan keji itu. Bahkan, beberapa kali Azman membawa Nurul ke rumahnya ketika isterinya bertugas di luar kawasan.

“Sejak peristiwa di hotel itu, saya berasa tidak kisah untuk bersama Azman walaupun ada rasa bersalah.

“Azman turut berjanji untuk bertanggungjawab dengan perbuatannya itu dan mengajak saya untuk berkahwin,” tuturnya.

Berbunga hati Nurul dengan janji kahwin Azman itu tetapi dari sebulan ke sebulan, hasrat itu bagaikan janji tinggal janji.

 

 

Perubahan sikapnya juga mula nampak ketara saban hari.

“Dia mula enggan mendekati saya, malah telefon juga tidak diangkat. Kejadian itu berlarutan selama berminggu-minggu.

“Sudah hilang rasa sabar dengan semua ini, saya lantas mengambil keputusan bersemuka dengannya di pejabat,” katanya.

Alangkah terkejutnya Nurul apabila Azman mula menghamburkan kata-kata yang menghancurkan hatinya.

Bagaikan tidak percaya, lelaki yang sama pernah membelainya dengan kata-kata manis sanggup melemparkan kata-kata sedemikian kepadanya.

“Semudah itu dia memutuskan hubungan selepas saya menyerahkan maruah semata-mata untuk cinta. Lebih perit lagi dia enggan membayar semula wang yang pernah saya pinjamkan kepadanya,” cerita anak sulung daripada enam beradik itu.

Maksiat yang dilakukan dahulu kini membuatkan hidupnya menderita sehingga terpaksa mendapatkan rawatan pakar psikiatri untuk meredakan tekanan emosi.

Perasaan berdosa kepada Tuhan, bersalah kepada kedua ibu bapa dan malu kepada masyarakat telah membuatkan Nurul menjadi tidak tentu arah serta sukar mengawal emosi.

“Syukur saya mendapat sokongan daripada kawan baik dan dia banyak membantu memulihkan emosi.

“Perkara ini saya simpan kemas dan tidak akan sesekali diberitahu kepada keluarga kerana tidak mahu mereka kecewa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI