fbpx

IPD Kota Kinabalu tahan 41 penagih, pengedar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bertugas menahan individu dipercayai terbabit dalam aktiviti penjualan atau penagihan dadah sepanjang seminggu operasi sekitar Kota Kinabalu. - Foto IHSAN IPD KOTA KINABALU

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Seramai 41 penagih serta pengedar dadah ditahan sepanjang operasi selama seminggu yang berakhir kelmarin.

Beberapa lokasi panas menjadi tumpuan operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, enam ditahan atas kesalahan mengedar dadah sepanjang operasi terbabit.

“Semua individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“10 individu lagi ditahan atas kesalahan memiliki dadah dan semua suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.

“Manakala 25 individu lain ditangkap kerana kesalahan positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Habibi berkata, seramai 38 individu ditahan ialah warga tempatan selain selebihnya adalah warga asing dalam lingkungan usia antara 18 hingga 55 tahun.

Dalam pada itu, menurut beliau, pihaknya juga berjaya merampas 18.39 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1,839 berdasarkan harga pasaran semasa.

Sementara itu, beliau menyatakan operasi membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar bandar raya serta kawasan berhampiran akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa demi ketenteraman awam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI